Ada seglintir daripada kita memuat status di Facebook dengan menceritakan kebaikan diri sendiri seperti bersedekah, qiamulail dan sebagainya. Bukanlah salah untuk berbuat demikian, tapi Islam menganjurkan agar kita merahsiakan segala amalan baik kerana takut riak itu timbul.
Perkongsian daripada Hilal Asyraf menceritakan bagaimana riak terlalu berleluasa dengan adanya pelbagai platform untuk kita berinteraksi dengan orang lain. Ikuti perkongsian beliau, jadikan rujukan serta sempadan agar kita belajar merahsiakan amalan baik yang dilakukan supaya terpelihara daripada sifat riyak yang akan menjadikan amalan kita sia-sia.
Menyelamatkan Diri Di Zaman Menunjuk-Nunjuk & Kecemburuan
Era ini era menunjuk-nunjuk. Dengan kepesatan media sosial, dinding privasi manusia semakin teruntuh. Orang-orang yang suka menunjuk-nunjuk kejayaan, kelebihan, keseronokan dan kekayaan masing-masing tumbuh melata.
Menyelamatkan Diri Di Zaman Menunjuk-Nunjuk & Kecemburuan
Era ini era menunjuk-nunjuk. Dengan kepesatan media sosial, dinding privasi manusia semakin teruntuh. Orang-orang yang suka menunjuk-nunjuk kejayaan, kelebihan, keseronokan dan kekayaan masing-masing tumbuh melata.
Makan apa hari ini pun nak menunjuk, pakai pakaian apa hari ini nak kena diberitahu, bahkan jenama pakaian apa beli kat kedai mana semuanya hendak diberitahu. Aktiviti dan rutin harian pun hendak diberitahu ke seluruh alam. Setiap hari!
Sampai ke satu tahap, ada yang tak malu membuka aib sendiri. Mendedahkan aurat atau menunjukkan perhiasan, mempamerkan kecantikan berlebihan.
Kerana bila kita buat semua itu pada zaman ini, kita akan dapat 'clout' - pengaruh, akan ada orang follow, kagum dengan kita, teruja nak jadi macam kita. Nombor-nombor pada media sosial kita, yakni angka follower, angka like dan share, menjadi pengipas kepada ego kita, dan dari satu sisi lain, menjadi 'penghalal' kepada tindak tanduk kita.
Ini trend hari ini.
Gaya hidup sekarang.
Dari satu sisi lain, orang yang direzekikan Allah ala kadar sahaja, sederhana sahaja, terpaksa memandang semua pertunjukkan tersebut.
Ada yang cemburu, ada yang dengki, ada yang iri hati. Ada juga yang tertekan, kerana hidupnya tidak seperti hidup orang-orang yang 'bernasib baik'. Maka syaitan mencucuk kepada jiwa mereka ini persoalan: "Apakah Tuhan tidak sayangkan aku, kenapa mereka ada semua itu, aku tak ada?"
Ada pula yang tertipu, mengejar gaya hidup dan 'kelebihan', 'kemewahan', yang dipamer-pamerkan sekalian orang tadi, lantas terjerumus kepada pembaziran, boros, dan akhirnya merosakkan hidup sendiri.
Biar papa asal dapat ikut trend bergaya-gaya di media sosial ni. Baju berjenama, telefon pintar paling baru, minum di kedai kopi mahal, dan makan makanan mewah. Kalau tak ada pakwe makwe, kena cari supaya boleh tunjuk-tunjuk kemanisan dan kebahagiaan. Kalau ada isteri cantik kena tayang, boleh buat bisnes alang-alang. Kalau ada suami hensem kena menunjuk, untung-untung dapat kata kita ada suami mithali.
Akhirnya kebanyakan insan penat. Hidup dalam kepura-puraan. Mereka terperangkap dalam satu gaya hidup yang sebenarnya memberikan kesan buruk kepada minda dan jiwa mereka, sekaligus mengheret kepada pemborosan yang meragut kemampuan untuk kelangsungan hidup.
Saya ada perasaan bahawa kebangkitan media sosial dan trend gaya hidup ini, ada kaitan yang amat rapat dengan naiknya angka statistik kemurungan, tekanan, sakit mental dan jiwa masyarakat di negara ini.
Bagaimana mahu menyelamatkan diri?
Islam mengajar kita qanaah. Yakni merasa cukup dengan apa yang ada. Rasa cukup ini bukanlah untuk menghalang kita dari berubaha mendapatkan lebih dari apa yang kita telah ada. Tetapi, supaya kita tidak rasa kurang.
Dengan rasa tidak kurang, apabila kita melihat kelebihan orang lain, kita tak rasa cemburu dan dengki. Datang bersama qanaah juga ialah sikap bersangka baik kepada Allah SWT. Kita yakin, apa yang Allah SWT telah beri kepada kita, dan apa yang Allah tidak beri kepada kita, semuanya ada hikmahNya yang tersendiri.
Tidak dapat tidak, kita perlu akui yang dunia takkan berubah mengikut kehendak kita. Trend menunjuk-nunjuk ni takkan tiba-tiba hilang.
Maka kita perlu persiapkan diri kita untuk punya sifat qanaah dan bersangka baik kepada Allah SWT ini, agar tidak teracun dengan rasa cemburu, iri hati, rasa tidak bersyukur dengan apa yang telah Tuhan anugerahkan kepada kita, seterusnya mengakibatkan kita terjerumus ke lembah-lembah kerosakan.
Jika kita di sisi yang dikurniakan kelebihan pula, Islam juga mengajar kita untuk bersederhana, menjauhi riya' dan sikap takabbur. Dengan sikap sederhana dan menjauhi sifat-sifat mazmumah tadi, kita akan terhindar dari rasa ingin melebih-lebih dalam menunjukkan segala anugerah dan rezeki yang kita ada.
Bukan saya larang 100% update fasal makanan, pakaian dan kongsikan kejayaan serta kegembiraan dan sebagainya.
Tetapi berpada-padalah.
Pilihan di tangan kita.
Muhasabah