Foto: syamilquran
Begitu jugalah dengan hari kematian kita, yang mana tidak seorang pun yang mampu menduga, dan mengetahuinya.
Menerusi perkongsian dari Uztaz Emran Ahmad sememangnya kita tidak mengetahui akan hari kematiam, namun persediaan atau persiapan untuk menghadapinya masih boleh kita lakukan.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Emran ini untuk mengetahui akan ubat buat kita yang takut akan kematian.
Foto: prayertime
Kenapa kita merasa takut mati dan merasa cemas atau bimbang apabila memikirkan tentang kematian?
~ Aljawab kerana kita terlalu mencintai dunia dan kehidupan ini serta merasa sayang untuk meninggalkannya.
Sebahagian orang pula merasa bimbang atau takut untuk mati kerana menyangka kehidupannya akan TAMAT dan tiada apa-apa lagi selepas mati iaitu tiada alam ruh, tiada akhirat dan tiada kesedaran kecuali sebuah pengakhiran yang sia-sia.
Allah berfirman dalam alQuran;
وَلَا يَتَمَنَّوْنَهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۚ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
"Mereka tidak menginginkan kematian itu selama-lamanya disebabkan kejahatan yang telah mereka perbuat dengan tangan mereka sendiri. Dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim." (Al-Jumuah:7)
Justeru memikirkan tentang kematian menyebabkan golongan ini menjadi tertekan, cemas dan bimbang serta merasa ketakutan.
Ubatnya;
1. Kematian ialah pasti, semua orang di seluruh dunia ini akan menghadapinya baik cepat atau pun lambat. Ianya merupakan proses kehidupan yang mesti dilalui oleh semua makhluk.
Justeru pasrah, redha dan terima HAKIKAT ini ialah ubat yang pertama.
2. Menyedari kita akan mati, buatlah persiapan awal-awal sebelum datang saat kematian yang tidak diketahui bila. Semakin cepat kita bertindak dan bersedia adalah lebih baik.
Persediaan untuk mati ada dua, iaitu;
--> Persediaan untuk meninggalkan dunia ini
--> Persediaan untuk menghadapi kehidupan selepas mati
Ada orang dia bersiap sedia untuk mati, tetapi sekadar untuk meninggalkan dunia ini sahaja. Dia membuat wasiat, dia menikmati hidup ini dengan sebaik-baiknya, dia mengumpulkan kekuatan untuk menghadapi kematian dengan tenang dan pasrah menerima hakikat hidup.
Namun dia tidak bersedia dengan kehidupan selepas mati.
Masalah ini selalunya dihadapi oleh orang yang bergelar "Muslim secara baka" atau Islam secara warisan keturunan yang tidak melalui fasa pencarian kepercayaan atau keimanan sebaliknya hanya mewarisi agama daripada keturunan atau keluarga persekitaran.
3. Kehidupan selepas mati ialah melibatkan soal kepercayaan, keimanan seseorang terhadap agama, Al-Quran dan al-sunnah serta keyakinan kepada Tuhan. Bagi menyelesaikan masalah krisis keimanan dan keyakinan, perjalanan mencari kebenaran perlu dilakukan oleh individu tersebut.
Perjalanan mencari hidayah dan petunjuk!
Mengkaji, mendalami ilmu mengenai ketuhanan dan agama, bermusafir untuk melihat alam dan kebesarannya dan menghayati kebenaran melalui hujah, kajian dan menjawab persoalan yang membawa kepada keyakinan yang jitu.
Hanya dengan melakukan pencarian Iman dan hidayah barulah golongan 'Muslim baka' dapat menemui semula nilai agama dan keImanan yang selama ini diambil secara sambil lewa atau 'take for granted'.
Allah berfirman;
إِنَّ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا وَرَضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاطْمَأَنُّوا بِهَا وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami." (Yunus: 7)
4. Beramal soleh bersungguh-sungguh untuk mengumpulkan bekal di hari akhirat. Dan hal ini akan lebih bermakna selepas seseorang itu memperolehi keyakinan dan keimanan yang teguh hasil daripada penat-lelah dan usaha payahnya mencari kebenaran dan hidayah.
Allah menyebut dalam alQuran;
وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ وَسَعَىٰ لَهَا سَعْيَهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ كَانَ سَعْيُهُمْ مَشْكُورًا
"Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh, sedangkan dia adalah mukmin, maka mereka itulah orang-orang yang usahanya dibalas dengan baik.” (Al-Israa’: 19)
# Kesimpulannya, perjalanan dan kewajipan kita masih lagi jauh daripada selesai dan sangat memerlukan fokus yang tidak berbelah bagi daripada kita. Justeru kita patut sedar bahawa kita tidak mempunyai masa untuk menyibukkan diri dengan hal yang remeh-temeh dan sia-sia.
Akhir kata, bagi sesiapa yang memahami penjelasan ringkas tentang perihal persediaan selepas mati ini, ayuh marilah kita memulakan perjalanan mencari hidayah jika belum bermula.
Jika sudah bermula, segera dapatkan jawapannya.
Jika sudah dapat, ayuh marilah pula bersiap-sedia dengan amalan dan perbuatan yang boleh menjadi bekal untuk menghadapi kehidupan yang kekal!
Lekas, sebelum ajal mendatangi kita!
- Siakap Keli