Lagi Fenomena Gerhana Bulan Penumbra Sabtu Ini (17 September 2016)
KUALA LUMPUR, 15 Sep: Rakyat di negara ini bakal menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra buat kali kedua pada tahun ini pada Sabtu.
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) berkata, fenomena gerhana itu hanya akan dapat mula disaksikan apabila bulan mula memasuki penumbra pada jam 12.55 pagi Sabtu dan berada pada fasa maksimum apabila bulan berada di kawasan penumbra paling dalam pada 2.54 pagi.
"Fenomena gerhana bulan penumbra akan berakhir apabila keseluruhan bulan keluar sepenuhnya dari kawasan penumbra pada jam 4.54 pagi.
"Secara am, fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi menghalang cahaya matahari dari jatuh ke atas permukaan bulan," menurut ANGKASA dalam kenyataan di sini hari ini.
ANGKASA juga berkata, Gerhana Bulan Penumbra sukar dilihat dengan mata kasar kerana penumbra adalah kawasan bayang-bayang bumi yang lebih samar (kurang gelap) jika dibandingkan dengan kawasan umbra iaitu kawasan bayang-bayang bumi yang gelap.
"Peluang untuk melihat kesan gerhana penumbra akan menjadi lebih mudah dan jelas jika kita melihat gerhana tersebut menggunakan peralatan bantuan seperti binokular ataupun menggunakan teleskop," menurut agensi itu.
Agensi itu juga berkata pihaknya tidak akan mengadakan program pencerapan untuk orang awam sempena fenomena itu Sabtu ini.
Sumber : BH Online