Tauke Kilang Ais Rugi RM1.46 Juta Selepas Terima Emel Dari "FBI"
Georgetown : Seorang tauke kilang ais rugi RM1.46 juta setelah ditipu oleh sindeket penipuan wang online yang menyamar sebagai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).
Mangsa yang berumur 62 berkata dia telah menerima satu email pada awal tahun ini dari "FBI" terbabit yang mendakwa dia berhak menerima GBP15.9 juta (RM94.16 juta) dari kerajaan Amerika.
Untuk menerima wang tersebut, mangsa perlu dahulu mengikut arahan iaitu membuat pembayaran melalui beberapa bank tempatan sebagai syarat bagi "memproses serta memindah" dana itu yang didakwa memerlukan 51 pemindahan.
Mangsa kemudian bertindak menurut arahan yang diberi dan memasukkan jumlah tertentu dalam beberapa peringkat ke beberapa akaun bank.
Mangsa bagaimanapun mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila "FBI" itu senyap hampir sebulan.
Mangsa kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Patani. Hasil dari laporan warga emas tersebut, polis berjaya membongkar sindiket penipuan wang online yang melibatkan lima warga Nigeria dan dua wanita tempatan.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ACP Azmi Adam, sekumpulan polis dari jabatan itu berjaya memberkas kesemua suspek dalam operasi Op Merpati setelah mengikut jejak mereka hampir sebulan.
Penangkapan itu dibuat pada 30 Jun lalu di beberapa premis kediaman di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.
“Warga Nigeria masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar dan merupakan pelajar IT di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang.
“Siasatan polis membawa kepada penemuan penipuan lain yang melibatkan jumlah wang sebanyak RM1 juta yang dipercayai ditipu daripada beberapa mangsa lain,” kata Azmi memetik laporan dari The Rakyat Post. - Siakapkeli.my