Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

9 Pesanan Relevan Sepanjang Zaman Ini Harus Sentiasa Tersemat Dalam Diri Setiap Insan

9 Jun 2017
One Comment
Foto: shutterstock

Dalam hidup ini sikap saling ingat-mengingatkan, atau tegur-menegur antara satu sama lain adalah perlu dalam memastikan kita tahu akan apa silap yang dilakukan, sama ada dalam tugasan kerja, mahu pun kehidupan seharian.

Pada kita, jika seseorang itu memberi teguran, ia seakan ingin memalukan, atau membuktikan yang dirinya lebih baik dari kita, walhal prasangka sebegitu adalah jauh sekali.

Menerusi perkongsian dari saudara Ammar Kamilin ini, yang mana telah menerima teguran, atau pesanan dari ustaznya , dia telah kongsikan akan Sembilan pesanan yang boleh kita jadikan iktibar, dalam menjadikan kehidupan lebih baik.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.

Foto: gentedemontanha

9 Pesanan Relevan Sepanjang Zaman 
Setiap kali tiba Ramadan, saya wajibkan diri untuk hadir ke rumah Ustaz di Kampung Bahagia, Bangi. Tujuannya untuk merapatkan silaturrahim melalui Iftar Jamaie (berbuka puasa beramai-ramai).

Selepas tamat sekolah hampir 20 tahun lepas, program bersama murabbi inilah yang setiap tahun menyatukan kami kembali.

Menjadi kelaziman, setiap kali berkumpul, ustaz akan tinggalkan pesanan buat bekal kami hingga Ramadan seterusnya.

Yang menyebabkan saya sayang untuk ‘ponteng’ perjumpaan ini ialah, pesanan ustaz sering menjadi ‘pencair’ hati yang beku dan setiap butir kata ibarat mutiara yang berharga sepanjang zaman.

Dalam perjumpaan baru-baru ini, Ustaz berpesan 9 perkara kepada kami,

1. Kematian tidak dapat diduga

Kematian akan datang mengejut, tanpa kita jangka dan sedia. Dari Ramadan tahun lepas ke Ramadan tahun ini, ada kawan-kawan yang telah pergi mendahului kita bertemu Allah. Ada yang pergi tanpa kita sangka.

Yang sakit, masih ada.
Yang tua, masih ada.
Tiba-tiba yang sihat sudah tidak ada.

Itu menunjukkan mati bukan milik kita. Milik Allah dan datang tanpa syarat. Sampai masa, tanpa amaran, tanpa tanda, kita akan kembali pada-Nya. Kita hidup bukan untuk terus hidup. Kita hidup untuk mati. Mati kerana Allah.

2. Lakukan apa sahaja sebaik mungkin

Apa saja urusan yang kita buat, usahakan yang terbaik. Disebabkan mati boleh datang bila-bila masa, setiap kali melakukan sesuatu, anggap itu yang terakhir.

Ada orang suka bertangguh untuk melakukan banyak perkara. Akhirnya, dia pergi tanpa sempat selesaikannya.

Orang akan bercerita, dia ni semasa hayat cita-cita nak buat macam-macam, tapi itulah, tak sempat buat, dah diambil nyawa.

Apabila kita fikir setiap urusan dengan mindset ‘ini tugas aku yang terakhir’, kita pasti melakukannya segera tanpa tangguh dan berhabis-habisan.

3. Berdakwah tanpa dengan ikhlas

Ustaz memandang setiap seorang, “Setakat hari ini, saya belum pernah dengar anak-anak murid meminta bayaran untuk ceramah agama. Jika ada, jangan mengaku pelajar saya.”

Nada tegas dalam gurau.

Dalam dakwah agama, tidak seharusnya menetapkan bayaran. Orang beri, kita ambil. Semoga kita tergolong orang bertaqwa.

4. Tidak memperlekeh ulama terdahulu

Jangan memperlekeh pendapat ilmuwan dulu-dulu. Masa kini, semakin ramai anak muda mempertikai ulama-ulama terdahulu.

Beginilah, anggap saja perkara ini seperti orang tua kita di kampung yang hanya tinggalkan rumah buruk dan sebidang tanah selepas pemergian mereka.

Jika kita tak puas hati dengan rumah buruk itu, perbaiki saja senyap-senyap. Tidak perlu menghina atau salahkan mereka untuk apa yang mereka tinggalkan. Kita tidak tahu apa yang mereka lalui untuk tinggalkan rumah buruk itu pada kita.

Begitu juga dengan ilmu. Jika ada yang kita boleh tambah baik, kita perbaiki saja. Mereka sudah selesaikan tugas pada zaman mereka. Sekalipun ada kelemahan, tidak perlu mengutuk ulama dan pejuang dulu.

Itu tidak menjadikan kita nampak mulia. Zaman mendatang, mungkin kita pula akan terhina.

5. Berdamping dengan al-Quran

Al-Quran itu penyelamat sepanjang zaman. Sentiasa berdamping dengan Al-Quran.

Al-Quran perlu difahami, dikupas dan digunakan untuk menyelesaikan isu-isu semasa. Infaqkan diri dan masa untuk mengkaji Al-Quran, sudah pasti ada solusi untuk semua masalah hidup yang berlaku zaman ini.

Foto: outboundengine

6. Bertanya perkara yang tidak diketahui

Apa saja tulisan dan ucapan kita akan ditanya di akhirat nanti. Kalangan kita, ramai yang sentiasa bercakap di hadapan umum. Sentiasa menulis yang dibaca ramai.

Ada antara ucapan dan tulisan kadangkala menunjukkan ketidakmatangan kita. Sebaiknya, perkara yang tidak kita ketahui, bertanyalah.

Imam Malik, pernah ditanya dengan 40 soalan. Dalam kesemua soalan itu, dia hanya menjawab 4 daripada 40 soalan. 36 soalan lainnya dijawab dengan “La Adri” Aku tidak tahu.

7. Memperbanyakkan ilmu

Biar kita malu tidak dapat menjawab, dari kita malu tersalah jawab.

Zaman ini, ada orang mahu tunjuk pandai. Perkara bukan ahli, bukan bidang, tetapi sibuk juga mahu bercakap. Segalanya serba tahu.

Ustaz tekankan, bercakap dan menulis biar berlapik ilmu. Bukan serbu melulu.

8. Perlu ada pendirian tegas

‘Pendakwah bukan penjual kopi di warung’. Ustaz memetik kata-kata Dr. Siddiq Fadzil.

Penjual kopi di warung mengikut kehendak pelanggan. Orang mahu manis, kita bancuh manis. Orang mahu kurang manis, kita kurangkan gula. Orang mahu pekat, kita bubuh lebih serbuk. Hanya mengikut saja.

Jadi seperti seorang doktor. Mereka tidak memberi ubat mengikut citarasa pesakit. Ubat diberi mengikut jenis sakit dan kadar kesakitan.

Begitu juga pendakwah. Kita bercakap berlandaskan ilmu, perlu ada pendirian tegas. Bukan memuaskan hati ramai orang dan mahu dilihat popular.

9. Dahulukan redha Allah

Yang terakhir dan paling mengesankan hati. Ustaz berpesan, apa saja urusan kita, apa saja yang mahu kita lakukan, ingat kata-kata anak Adam (Habil) dalam surah Al-Maidah (5:28).

‘Inni Akha Fullah,

Inni Akha Fullah,

Inni Akha Fullah –

Sesungguhnya, aku takut pada Allah’.

Sebagai muslim, kita ada Allah. Itu beza orang beriman dan orang ingkar.

Dahulukan redha Allah daripada restu manusia.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. Kecewa dengan agen online game yang lain?
    Ayo buruan daftar disini ya f*a*n*s*b*e*t*t*t*i*n*g :)

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "