Kes Langgar Lari, Penunggang Motosikal Mengaku Tidak Bersalah Tunggang Melulu Hingga Sebabkan Kematian
Georgetown: Seorang pengunggang motosikal yang dituduh menunggang secara melulu hingga menyebabkan kematian seorang wanita di Jalan Burma minggu lalu mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, lapor Harian Metro.
Pertuduhan telah dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Amin Shahul Hamid di mana berdasarkan pertuduhan, suspek yang bekerja sebagai krew kapal didakwa menunggang motosikal secara melulu hingga menyebabkan kematian pejalan kaki, Foo Swee Wah, 58, di Jalan Burma, jam 10.30, 6 April lalu.
Kerana kesalahan itu dia telah didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dengan denda minimum RM5,000 atau maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin sebelum itu telah memohon mahkamah menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta menggantung lesen memandunya.
Mohamad Amin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menggantung lesen memandunya, selain menetapkan 29 Mei ini bagi sebutan semula kes. - Siakapkeli.my