Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Panduan Buat Mereka Yang Ingin Berkunjung Ke ‘Skybridge KLCC’, Untuk Merasai Berada Pada Aras Ketinggian 170 Meter Dari Permukaan Tanah

28 Feb 2017
No Comment

Menara Berkembar Petronas merupakan salah satu kebanggaan buat Malaysia yang mana pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia suatu ketika dahulu, tapi, ia masih lagi menjadi bangunan tertinggi bagi menara berkembar.

Walaupun begitu, ia adalah salah satu lambang Malaysia yang mana dikenali seantero dunia, dan sering menjadi tempat kunjungan wajib bagi pelancong, dan rakyat Malaysia sendiri apabila melawati ke Kuala Lumpur.

Bagi jejantas yang menghubungkan kedua-dua menara ini, yang terletak di tingkat 41 dan 42, ia dibuka kepada semua pelawat, untuk merasai dan melihat pemandangan indah Kuala Lumpur. Menerusi perkongsian dari saudara Izman Pauzi yang mana telah berkunjung dan merasai sendiri berada di jejantas menara bekembar, saudara Izman telah kongsikan bagaimana anda turut boleh ke sana, dan perjalanan sepanjang lawatan ke jejantas menara berkembar.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.

JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (Skybridge KLCC)

Pada 19/02/2017, saya berkesempatan membawa anak sulong saya, Luqman Hakim ke Jejantas Udara KLCC (Skybridge Petronas Twin Tower). Ia adalah kejutan kepada anak saya itu. Kebetulan pada hari tersebut saya sudah berjanji dengan dua orang sahabat baik saya untuk mini gathering pada sebelah petang, dan ada sedikit masa untuk ke KLCC.

Berikut adalah catatan lawatan saya sebagai panduan sahabat yang ingin ke Skybridge Petronas Twin Tower (Skybridge KLCC):

PERMULAAN LAWATAN : RANCANG PERJALANAN

Umum tahu bahawa skybridge ini adalah lokasi wajib bagi pelancong asing dan kouta masa lawatan juga adalah TERHAD. Jadi jika anda berhajat untuk ke sana, pastikan anda rancang dahulu perjalanan anda agar tidak berputih mata.

Anda boleh semak jadual lawatan di laman sesawang rasmi skybridge, pada pautan ini.

PERINGKAT PERTAMA LAWATAN : MEMBELI TIKET

Jika anda bernasib baik, anda sebenarnya boleh sekadar 'walk in' sahaja. Saya dimaklumkan bahawa pelawat tempatan dikehendaki hadir sendiri untuk membeli tiket di LEVEL CONCORSE Menara Berkembar Petronas kerana harga untuk rakyat Malaysia cuma boleh dikeluarkan setelah menunjukkan kad pengenalan.


Harga tiket dewasa tempatan (13-60 tahun ) = RM30.00
Harga tikek kanak-kanak tempatan (3-13 tahun) = RM15.00
Harga tiket warga emas (61 tahun ke atas) = RM15.00

Nota : Harga sudah termasuk GST.

PERINGKAT KEDUA LAWATAN : PEMERIKSAAN DAN TAKLIMAT KESELAMATAN.

Apabila waktu melawat akan bermula, semua pelawat akan dipanggil. Mereka akan melepasi mesin pengimbas tiket, dan seterusnya akan melalui pemeriksaan keselamatan oleh anggota polis. Pelawat dikehendaki mengosongkan poket dan melalui 'scanner' seperti yang terdapat di lapangan terbang.

Pelawat juga dikehendaki berkumpul untuk taklimat keselamatan yang dibuat secara digital.


PERINGKAT KETIGA LAWATAN : JEJANTAS UDARA MENARA BERKEMBAR PETRONAS (SKYBRIDGE)

Pelawat akan diiring oleh polis bertugas memasuki lif dan ke Tingkat 41 yang menempatkan skybridge ini. Untuk maklumat, skybridge ini adalah jejantas pejalan kaki yang tergantung antara dua bangunan Menara Berkembar Petronas. Ia sepanjang 58.4 meter dan berada di aras ketinggian 170 meter dari permukaan tanah. Tinggi tu!

Jika kita amati, sebenarnya jejantas ini sedikit beroleng (bergerak) tetapi jangan bimbang ia mematuhi tahap piawaan keselamatan yang tinggi. Jika berlaku kecemasan, sila patuhi arahan petugas.

Kami diberi masa 20 minit untuk menikmati suasana di skybridge. Saya banyak berselfie dengan Luqman dan ada masanya kami menebalkan muka meminta petugas atau pelawat lain merakam gambar kami berdua. Ala... mereka pun sama, jadi apa nak dimalukan.


PERINGKAT KEEMPAT LAWATAN : DEK PEMERHATIAN (OBSERVATION DECK) 

Dari tingkat 41 yang menempatkan skybridge, kami kemudiannnya dibawa menaiki lif ke Tingkat 83. Namun kami dikehendaki masuk semula ke lif yang berada di tingkat tersebut untuk ke Tingkat 86. Tingkat 83 ini cuma kawasan transit. Untuk info, lif kecil ini hanya memberikan perkhidmatan ke tingkat 84, 85 dan 86 sahaja.

Tiba di Tingkat 86 suasananya sangat cantik. Puncak Menara Berkembar (pinacles) begitu jelas di depan mata seolah boleh dijangkau dengan tangan. Di sini pelawat boleh menikmati pemandangan Bandaraya Kuala Lumpur yang saujana mata memandang. Teropong berkuasa tinggi juga disediakan bagi kemudahan pelawat.

Masa 20 minit di Observation Deck ini terasa begitu singkat kerana tidak puas menikmati suasana KL dari tempat tertinggi di Malaysia ini. Di sini disediakan pelbagai info untuk pengetahuan pengunjung berkaitan menara ini. Jangan tak tahu bahawa Tingkat 86 ini adalah tingkat/ aras tertinggi yang boleh dinaiki oleh orang awam kerana dua aras paling atas selepas Tingkat 86 ini di khaskan untuk penyelenggaraan sahaja.


PERINGKAT KELIMA LAWATAN : GIFT SHOP / TRANSIT AREA

Setelah selesai melawat aras Pemerhatian (Observation Deck), kami turun kembali ke Tingkat 83. Tingkat ini adalah aras transit dari Tingkat 42 (Skybridge) ke Tingkat 86 (Observation Deck) dan dari Observation deck untuk turun ke aras tanah Bangunan Berkembar Petronas.

Keluar sahaja dari lif, terdapat dinding biru yang memaparkan kesemua grafik bangunan dan menara tertinggi di dunia untuk info dan perbandingan.

Di aras ini juga terdapat kedai cenderahati (gift shop) yang menjual pelbagai cenderahati kenang-kenangan.

Kami di sini sekitar 20 minit dan akhirnya diberikan giliran untuk turun ke aras bawah. Lawatan tersebut secara rasminya tamat.

TINGKAT BAWAH : KLCC / SOUVENIR PHOTO COUNTER

Apabila tiba di tingkat bawah, mana-mana pelawat yang telah menempah gambar melalui jurufoto bertauliah akan menerima gambar mereka.

Oh ya! Diingatkan sebelum menggunakan khidmat mereka, tanya harga dahulu. Saya takut anda pengsan apabila diberitahu harganya ketika anda menerima gambar anda di tingkat bawah nanti.

LAWATAN TAMAT 

Secara keseluruhannya, saya dan anak saya Luqman Hakim sangat seronok menyertai lawatan ini. Ia adalah satu pengalaman yang begitu mengujakan.


Pandangan dari Skybridge

Pandangan dari Skybridge

Pandangan dari Skybridge

Kawasan Transit Tingkat 83 / Gift Shop.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "