Keratan video rakaman selepas insiden. Kredit foto : likers Siakapkeli |
Kuala Langat, 9 Sep: Tiga orang lelaki maut selepas dilanggar ketika menukar tayar bocor di Kilometer 21.9 Lebuhraya ELITE berdekatan dengan Hentian Rehat dan Rawat Dengkil (RnR) dekat sini dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir, siasatan awal mendapati semua mangsa termasuk pemilik pacuan empat roda yang bocor, Leong Chee Keong, 49, berhenti di lorong kecemasan itu untuk menukar tayar kereta tersebut.
"Namun, lori dipandu lelaki berusia 57 tahun di lorong paling kiri dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar kenderaan berkenaan.
"Perlanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa termasuk seorang warga Bangladesh meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat," kata beliau sebagaimana lapor Harian Metro.
Warga Bangladesh yang terlibat dikenalpasti sebagai Md Monirul Islam manakal seorang lagi mangsa yang maut belum dapat dikenalpasti.
Menurut beliau, pemandu lori itu bagaimanapun hanya cedera ringan dan ditahan bagi membantu siasatan.
Sumber : Harian Metro