"Datang Sini Nak Tengok Bola" - Antara Alasan Ditangkap Khalwat
JOHOR BAHRU - Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) tengah malam kelmarin telah menahan 16 individu kerana disyakit berkhalwat.
Kesemua mereka dicekup menerusi Ops Mawar Merah yang dijalankan oleh Jainj di sekitar Skudai sempena Hari Valentine.
Di dalam operasi tersebut, ada sepasang kekasih yang mendakwa sudah mahu mendaftar keluar selepas menonton perlawanan bola sepak Piala Sumbangsih di televisyen. Namun mereka tergamam apabila pintu bilik yang disewa diserbu anggota Jainj.
Ketika disoal, lelaki 34 tahun itu mendakwa dia sudah mahu pulang setelah siaran langsung perlawanan bola sepak itu sudah tamat.
Katanya, dia singgah di hotel tersebut bersama pasangan yang didakwa seorang kawan hanya untuk menonton televisyen.
“Saya singgah sekejap saja dan memang nak balik dah, datang sini pun sebab nak tengok bola,” katanya.
Seorang jururawat wanita berusia 23 tahun dan tunangnya pula berkata tidak dengar apabila pintu diketuk anggota Jainj selam 15 minit.
“Tunang saya demam, jadi kami letih, tak dengar encik ketuk pintu,” dakwa lelaki berusia 30 tahun yang sudah bertunang selama setahun dengan pasangannya itu.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan Jainj, Mohd Zamri Kambari, operasi itu dilakukan serentak di semua daerah di negeri ini selama dua hari dan berakhir tengah malam tadi.
“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun, terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita,” katanya. - Siakapkeli.my