KUALA LUMPUR: Selepas tertangguh beberapa lama, akhirnya kerajaan pusat dan kerajaan negeri Selangor akan memuktamadkan empat perjanjian air pada Selasa ini.
Perjanjian itu akan membabitkan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi memetrai empat perjanjian di bawah penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor.
Ia meliputi Perjanjian Kemudahan, Perjanjian Pajakan, Perjanjian Hak Untuk Guna dan Perjanjian Penyelesaian, yang menjadi syarat duluan kepada Perjanjian Induk bagi penstrukturan semula itu.
Pada majlis yang sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili akan menyerahkan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan yang dikeluarkan kepada Air Selangor kepada Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mana ia adalah syarat duluan terakhir kepada Perjanjian Induk yang perlu dipenuhi Kerajaan Persekutuan.
"Dengan pemetraian perjanjian dan penyerahan lesen terbabit, syarat duluan yang penting itu sudah pun selesai serta dipenuhi. Ini bermakna Perjanjian Induk akan berkuatkuasa mulai 9 September 2015," katanya memetik Astro Awani. -Siakapkeli.my