Serge Mackowiak Dedah Bagaimana Pakar Tentukan Flaperon dari MH370
Awal pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengesahkan flaperon pesawat yang dijumpai di Reunion adalah milik pesawat MH370 yang hilang pada Mac tahun lepas.
Dalam masa yang sama, Timbalan Pendakwaraya Perancis, Serge Mackowiak turut mengadakan sidang media berkenaan perkara di Perancis.
Dalam kenyataan terbabut Serge Mackowiak menjelaskan apa yang telah diketahui oleh pasukan penyiasat yang terdiri daripada pakar dari Perancis, Malaysia, Australia dan Amerika tentang flaperon terbabit.
Menurut Serge Mackowiak, wakil dari Boeing telah mengesahkan serpihan tersebut datang dari Boeing 777 berdasarkan saiz, warna, struktur sendi dan karakter teknikal yang lain. Tambahnya lagi, dokumen teknikal yang diberi oleh MAS membolehkan pakar mengenalpasti persamaan antara serpihan tersebut dan flaperon MH370.
Seorang individu yang terlibat dalam penyiasatan terbabit bagaimanapun berkata, pakar dari Boeing dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika masih lagi tidak berpuas hati dan akan menjalan siasatan lanjut ke atas flaperon terbabit. Ini berikutan terdapat modifikasi kepada bahagian flaperon itu yang tidak sepadan dengan apa yang mereka jangka berdasarkan rekod penyelenggaraan syarikat penerbangan terbabit.
Bagaimanapun, pegawai-pegawai Perancis dan Malaysia tidak berkongsi keraguan terbabit disebabkan hanya terdapat satu Boeing 777 yang hilang di dunia.
Tambah individu terbabit, yang tidak mahu namanya dipaparkan berikutan perkara ini tidak boleh dibincangkan secara terbuka, tiada nombor identifikasi unik membuatkan proses pengecaman objek tersebut menjadi lebih rumit. Individu itu turut berkata setakat ini tiada kesan atau bukti kerosakan fizikal yang mungkin boleh menjawab apa sebenarnya terjadi kepada pesawat tersebut. - Siakapkeli.my
Sumber : The New York Times
