KUALA LUMPUR: Susulan pelbagai perkembangan terbaru melanda Malaysia kebelakangan ini, pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur dibekukan cuti mereka bagi menghadapi pelbagai kejadian yang tidak diingini.
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Isa pembekuan cuti seperti ini adalah perkara biasa namun ia adalah terhad dalam keadaan sekarang.
Mengambil contoh pada musim perayaan lalu, hanya 10 peratus anggota dan pegawai dibenarkan bercuti dan selebihnya perlu bekerja seperti biasa.
“Kita ada pelbagai program berlaku di dalam negara yang memerlukan anggota untuk bertugas dan ditambah dengan isu kontroversi sekarang, kita perlu mengehadkan mereka yang boleh bercuti.
“Polis sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan dan kekuatan anggota mencukupi,” katanya memetik The Rakyat Post.
Sementara itu polis juga tidak menerima sebarang permohonan dalam himpunan #tangkapnajib Sabtu ini di Pusat Membeli Belah Sogo.
Beliau menegaskan, kekuatan anggota mencukupi dan sentiasa berada dalam keadaan sedia untuk menghadapi sebarang keadaan.
“Persediaan kami sama seperti himpunan yang diadakan sebelum ini,” katanya.
Tajuddin turut menasihatkan orang ramai untuk tidak menyertai himpunan tersebut untuk tujuan keselamatan.
Difahamkan, pembekuan cuti pegawai dan anggota bermula hari ini hingga diumumkan nanti. -Siakapkeli.my