KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merestui penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dikatakan selari dengan pembentukan pakatan pembangkang baru.
Dalam satu kenyataan menerusi peguamnya, Anwar percaya GHB akan memainkan peranan penting dalam landskap politik negara, sebagaimana yang dilakukan oleh NGO pro-pembangkang yang lain.
"Kita sedang berusaha mewujudkan muafakat politik yang lebih utuh, yang akan melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti Bersih, Abim, Ikram dan GHB yang baharu sahaja diwujudkan.
"Permuafakatan ini merupakan kesepakatan kumpulan yang komited kepada reformasi dan perubahan, yang akan memberikan pilihan yang benar-benar demokratik dan adil kepada rakyat," katanya.
Gerakan Harapan Baru yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin progresif PAS dijangka menubuhkan sebuah parti politik pada 14 September depan.
GHB dilancarkan pada 13 Julai lalu yang kononnya mahu menyatukan semula parti politik pembangkang.
Dipengerusikan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, anggota jawatankuasa interim GHB terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Dr Mohd Hatta Ramli, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad dan Dr Siti Mariah mahmud. -Siakapkeli.my