Pasti anda yang lahir pada tahun 80-an masih lagi mengingati rancangan drama yang hebat ini di mana dahulu pada tahu 80-an dan 90-an ia merupakan sebuah drama yang terkenal dan diminati ramai yang ditayangkan hanya pada bulan ramadan.
Mungkin kini kita tahu drama yang menjadi pujaan ramai seperti 'Suamiku encik perfect 10', 'Pilot Cafe', 'Hati Perempuan' , 'Love You Mr. Arrogant', 'Ariana Rose' dan banyak lagi, begitulah cerita rumah kedai ini sentiasa mendapat perhatian ramai. Cuma yang membezakannya ialah pada zaman itu tidak ada lagi zaman media sosial untuk orang ramai berkongsi kehebatan cerita ini.
Drama bersiri yang lebih bertemakan moral yang baik, keagamaan, politik dan keluarga ini mula ditayangkan pada tahun 18 May 1988 dan bersiaran mulai pukul 5.30-6.00 petang (Isnin-Jumaat) atau 4.40-5.00 petang (Sabtu-Ahad).
Drama Rumah Kedai ialah sebuah rancangan drama bersiri sebanyak 30 episod yang disiarkan khas pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Antara barisan hebat pelakon yang membintangi drama ini ialah
Yusof Mohamad (sebagai Pak Halim)
Kartina Aziz (Mak Lijah)
Sudiro Sukirman (Tapa)
Haron Salim Bachik (Remy)
Rosnah Mohd Aris (Mak Limah)
Zulkifli Zain (Pak Imam)
Aliza Abdul Rafar (Aishah)
Khatijah Tan (Habsah)
Rosnani Yusof (Hanisah)
S. Sachithananthan (Dr. Sham)
Dalam drama yang ditayangkan oleh TV3 ini watak yang paling SK ingat adalah watak Tapa yang dilakonkan oleh arwahyarham Sudiro Sukirman dan juga watak Remy yang dilakonkan oleh arwahyarham Haron Salim Bachik.
Tapa adalah seorang pekerja di rumah kedai berkenaan manakalan 'geng' dia Remy. Mula-mula tahun pertama ditayangkan bisnes kedai mereka hanya di rumah kampung dan pada tahun kedua penayangan bisnes mereka sudah maju maka berpindah ke rumah kedai dan buka pasar mini.
Watak Mak Lijah yang dilakonkan oleh Kartina Aziz pula SK ingat dia seorang isteri yang taat mendengar arahan suaminya Pak Halim yang dilakonkan oleh Arwahyarham Yusof Mohamad. Pak Halim pula seorang tinggi agamanya di mana selalu berpesan-pesan kepada orang lain dengan mesej penuh pengajaran.
Rosnah Mat Aris yang melakonkan watak Mak Limah pula merupakan seorang yang suka membawa mulut.
Drama Rumah kedai ini memang sarat dengan kisah-kisah yang memberi tauladan baik kepada masyarakat di mana Pak Halim sentiasa memberi nasihat berunsur keagamaan di pengakhiran setiap episod.
Antara penerbit yang menghasilkan Rumah Kedai ialah Faridah Ishak, Ngu Chin Ho, Jefferi Haji Tik, Aidi Fitri Buyung, Megat Saiful Bahari dan Josephine Tan.
Berikut adalah sedikit sinopsis yang disiarkan oleh blog arkibnegara musim ketiga Rumah Kedai iaitu tahun 1990.
Tuah (27 Mac 1990) - 1 Ramadan
Episod pertama bagi musim ini bermula di kawasan baru dan Pak Halim berpindah kerana terjadi pergaduhan dengan tuan punya kedai. Perniagaan Pak Halim bertambah maju sehinggakan Remy merasakan dia patut dilantik sebagai penolong pengurus tetapi cadangan ini dibantah oleh Halijah. Apabila perniagaan Pak Halim begitu baik, Sharif iri hati dan menuduh Pak Halim menggunakan ilmu. Kebetulan pula sewaktu itu perniagaan Sharif semakin malap.
Duit Halal, Duit Khayal (28 Mac 1990)
Apabila suaminya membayar cukai pendapatan secepat mungkin, Mak Lijah mula membebel manakala Tapa dan Remy berangan-angan mereka akan menjadi kaya apabila mereka terasa tapak tangan mereka gatal. Tapa terus menjadi murah hati manakala Remy membeli dua tiket loteri.
Hadiah Istimewa (29 Mac 1990)
Apabila sebuah pasaraya baru dibuka dan menawarkan jualan murah serta hadiah istimewa, Mak Limah mengajak Mak Lijah ke sana. Tapa pula mempunyai cadangan untuk kebaikan Pasar Mini Mesra dengan cara memberi hadiah kepada setiap pelanggan. Secara kebetulan Remy, Tapa dan Mak Lijah terjumpa bungkusan rempah yang disorokkan oleh Pak Halim. Rempah inilah yang mereka hadiahkan kepada pelanggan tanpa mengetahui kenapa bahan itu disorok.
Niat Baik (30 Mac 1990)
Niat baik yang dilakukan oleh Remy dan Tapa berakhir dengan kekecewaan. Seorang rakan datang menemui Remy mahu menumpang tinggal di biliknya untuk sementara. Remy serba salah kerana takut perbuatannya tidak akan disenangi oleh Pak Halim dan Mak Lijah tetapi akhirnya dia membenarkan juga rakannya menumpang. Tetapi rakan ini ternyata tidak boleh diharap. Tapa pula menolong seorang janda yang kemudian ditangkap berkhalwat. Ketika dia menolong janda ini, Tapa banyak menghabiskan wangnya. Akhirnya, apabila Remy dan Tapa begitu kecewa, Pak Halim menasihatkan mereka supaya berhati-hati sebelum membantu seseorang.
Bulan (21 April 1990)
Jusuh menuduh Pak Halim menggunakan duit saham orang kampung untuk membina pasar mini. Di sebabkan bulan puasa, Pak Halim tidak menjawab tuduhan itu dan ini menghairankan Mak Lijah, Remy dan Tapa. Akhirnya terbongkar rahsia yang bendahari koperasi telah menggunakan nama Pak Halim untuk kepentingan dirinya.
Anak Angkat (22 April 1990)
Sham amat gembira apabila Faruk mengamanahkannya untuk memelihara anaknya Nazim. Bagi Faruk, ini dianggap sebagai impian yang menjadi nyata. Bagaimanapun, Hanisah tidak bersetuju dengan cadangan Sham kerana dia tidak diajak berunding terlebih dulu. Abang Faruk (Ganesan) dan emak saudara Nazim, Rogayah, turut menentang rancangan Faruk kerana mereka juga ingin memelihara Nazim.
Kunjungan (23 April 1990)
Mak Limah menjadi syak apabila seorang perempuan muncul untuk bertanyakan mengenai Karim dan perempuan itu pergi secara tergesa-gesa apabila melihat Habsah. Sejak hati itu, keluarga Pak Halim mula diganggu pelbagai perasaan syak wasangka mengenai masa silam Karim. Hanya Pak Halim yang tidak mempunyai buruk sangka terhadap Karim. Siapakah perempuan itu?
Amalan (24 April 1990)
Rostam, yang menyebabkan kematian ibunya, pergi mengembara untuk mencari kedamaian dan pengampunan Allah. Kehadiran Rostam di kampung ini menyedarkan Remy dan Tapa betapa tingginya nilai kasih seorang ibu.
Kata Putus Di Aidilfitri (25 April 1990) - 30 Ramadan
Remy dan Tapa sering bergaduh untuk mendapatkan kuasa mutlak di kedai sepeninggalan Pak Halim dan Mak Lijah ke Makkah nanti. Leha pula sering dipukul oleh suaminya sehingga mukanya lebam-lebam. Bagaimana Pak Halim untuk menggunakan kebijaksanaannya dan menyelesaikan masalah ini?