Hilux Jatuh Tali Air Semalaman Sebelum Disedari Orang Ramai Pagi Tadi
DUNGUN: Sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang penyelia projek pembinaan telah terbabas ke dalam sebuah tali air menyebabkan pemandu itu maut di Kilometer 7, Jalan Dungun-Bukit Besi, awal pagi tadi.
Mangsa, Law Ah Kam, 54, yang berasal dari Selangor telah ditemui oleh orang ramai pada pukul 9 pagi tadi.
Kejadian tersebut dikatakan telah berlaku pada pukul 2 pagi tetapi tidak disedari oleh sesiapa kerana kedalaman tebing tali air tersebut yang tinggi membuatkan orang yang melalui jalan tersebut tidak menyedari kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, mangsa dikatakan telah hilang kawalan sebelum melanggar tembok jambatan lalu terbabas ke dalam tali air tersebut.
"Sebelum kejadian, mangsa yang memandu bersendirian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Bukit Besi sekembalinya daripada makan malam di Bandar Dungun. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat," katanya. - Siakapkeli.my