Namun begitu, seperti sedia maklum, sakit datang tanpa diduga. Ia kadang kala akan lebih merungsingkan jika anda berada di luar, atau sedang bercuti. Ini akan membuatkan anda sedikit terkilan, kerana tidak mahu berada di bilik sahaja, hendak membeli ubat, risau akan bayaran yang akan dikenakan pula, kerana berada di tempat orang, iaitu negara luar.
Adakah caranya, atau ubat yang boleh kita sediakan terlebih dahulu, lagi-lagi jika kita ingin melancong ke luar Negara? Pegawai Farmasi, saudara Dziehan Mustapa kongsikan antara ubat asas yang boleh disediakan dan dibawa bersama jika melancong atau travel. Jom kita baca perkongsiannya.
Hmmmm... baiklah, sini saya kongsikan antara ubat-ubatan yang saya bawa ketika saya pergi outstation atau bengkel atau seminar atau kerja lapangan.
Pemilihan ubat yang saya bawa bersama-sama ketika oustation adalah bergantung kepada jenis sakit-sakit ringan yang biasa dialami. Justeru saya senaraikan dahulu jenis sakit-sakit ringan tersebut.
Antaranya adalah demam, sakit otot atau sendi, selesema, cirit birit, muntah atau loya, pedih hulu hati, gastritis dan batuk.
Ubat ini adalah Cetrizine 10mg. Boleh diambil 1biji setiap 24 jam. Bermaksud 1 biji sehari untuk mengurangkan hidung berair atau selesema
1. Demam atau Selesema
Kadangkala faktor perubahan cuaca atau mengambil minuman sejuk yang kerap semasa di bengkel atau seminar mahupun suhu penghawa dingin yang terlalu sejuk di dalam bilik seminar boleh menyebabkan saya mula seram sejuk dan rasa hendak demam serta hidung mula berair.
Bagi saya yang alah kepada bulu-bulu halus atau bulu pada tikar permaidani (karpet), setiap kali menginap di hotel yang berlantaikan permaidani boleh menyebabkan saya selesema.
Oleh itu penting untuk saya bawa bersama-sama sepapan ubat demam Paracetamol 500mg dan ubat selesema Cetrizine 10mg. Namun sampai bila harus saya perlu mengambil ubat demam ini?
Sekiranya demam masih berterusan “on and off” walaupun telah mengambil ubat demam Paracetamol selama 3 hari berturut-turut, anda harus rujuk kepada doktor untuk pemeriksaan lanjut. Mungkin demam tersebut adalah disebabkan oleh jangkitan yang serius.
Manakala jika demam dan ada tanda-tanda jangkitan disebabkan denggi jangan tunggu lagi. Segera mendapatkan rawatan daripada doktor di fasiliti kerajaan mahupun swasta. (Lihat infografik yang dilampirkan bersama-sama posting ini untuk tanda-tanda demam Denggi)
Ubat ini adalah Ibuprofen 200mg. Boleh diambil 1-2biji setiap 8 jam untuk rawatan tahan sakit dan anti-keradangan. Perlu diambil selepas makan untuk mengurangkan iritasi gaster (sakit perut)
Seterusnya, kalau seminar atau bengkel di hotel saya gemar ke pusat gym di hotel. Mungkin kerana rasa bersalah makan banyak, maka perlulah bakar kalori di sebelah petangnya ketika waktu riadah. Bagi individu yang tidak selalu ke gym dan tiba-tiba melakukan senaman berat, mungkin boleh menyebabkan otot dan sendi berasa lenguh dan sakit-sakit.
Oleh itu saya perlukan ubat tahan sakit dan anti keradangan seperti ubat Ibuprofen 200mg untuk mengatasi masalah ini. Ambil ubat ini selepas makan yer kerana ubat ini boleh memberi kesan iritasi gaster (sakit perut) jika diambil ketika perut kosong.
Ubat ini adalah Magnesium Tricilycate. Boleh diambil 1-2biji DIKUNYAH setiap 4jam untuk rawatan pedih hulu hati atau sakit perut. Ambil ubat ini sebelum makan atau perut kosong.
Bercerita pula tentang makan pelbagai jenis makanan semasa outstation sama ada mengambil makanan di hotel atau jalan-jalan cari makan di gerai-gerai di luar, mungkin boleh menyebabkan saya mengalami situasi pedih hulu hati, sakit perut atau cirit birit jika keracunan makanan.
Situasi seperti ini boleh mengganggu kehadiran saya dalam seminar atau bengkel tersebut kerana asyik perlu ke tandas. Maka pengambilan ubat untuk mengatasi gelaja penyakit seperti ini dapat membantu.
Jika pedih ulu hati, saya akan ambil ubat anti-asid seperti Magnesium Tricilycate. Ubat ini perlu dikunyah terlebih dahulu dan bukan ditelan. Jika saya memang ada sakit perut atau gastritis, saya akan ambil ubat Ranitidine.
Ubat ini adalah Ranitidine 150mg. Boleh diambil 1biji setiap 12jam untuk rawatan sakit perut atau gastritis. Awas, jangan bergantung kepada ubat ini dalam jangka masa yang panjang. Mohon rujuk Doktor anda jika anda mengalami sakit perut atau gastritis berpanjangan.
Ubat ini adalah Activated Charcoal (Tablet Arang). Boleh diambil 2biji setiap 6 atau 8 jam. Ambil ubat ini dalam keadaan perut kosong dan najis yang terbentuk akan bewarna gelap.
Cirit birit juga antara masalah kesihatan yang kerap berlaku. Mungkin disebabkan oleh terlalu banyak makan atau keracunan makanan. Dalam situasi ini saya akan mengambil ubat Activated Charcoal terlebih dahulu.
Jika saya masih cirit saya akan terus mengambil ubat yang sama pada hari pertama saya cirit birit. Tujuan ubat Activated Charcoal ini adalah untuk menyerap toksin dalam perut dan usus yang disebabkan oleh keracunan makanan tersebut.
Ubat ini adalah Loperamide HCL 2mg. Boleh diambil 1biji setiap kali selepas berlaku cirit dan jangan melebihi dos maksima. Dos maksima adalah 16mg sehari.
Elok ambil ubat Activated Charcoal terlebih dahulu untuk serap toksin dan dibuang keluar sebelum kita berhentikan cirit dengan ubat Loperamide. Jika kita berhentikan cirit tetapi masih ada toksin yang tidak diserap dan dibuang keluar, ditakuti akan menyebabkan kita demam dan berlaku jangkitan kuman pula.
Kadangkala mungkin akibat salah makan, saya akan muntah-muntah. Jika hanya sekali sahaja muntah, keadaan masih boleh diterima lagi, tapi jika muntah berkali-kali atau asyik loya tekak, susah juga untuk kita berseminar atau menghadiri bengkel.
Dalam keadaan seperti ini saya akan ambil ubat Meclozin HCL 25mg + Pyridoxine 50mg untuk memberhentikan muntah atau loya tersebut.
Jika dua keadaan di atas berlaku iaitu cirit atau muntah-muntah, semestinya tubuh kita akan kehilangan cecair dan garam mineral dengan jumlah yang banyak.
Ini adalah Oral Rehydration Salt (ORS). Bancuh 1 sachet ORS ini dengan segelas cawan air kosong. Minum setiap kali selepas berlaku cirit atau muntah.
Namun jika situasi cirit dan muntah sangat teruk sehingga kelihatan terlalu lemah, bibir kelihatan kering dan pecah-pecah, situasi seperti ini menujukkan bahawa terdapatnya keperluan untuk merujuk kepada doktor dan dapatkan rawatan di Hospital. Dalam situasi ini keperluan lebih kepada hidrasi tubuh dengan segera melalui infusi cecair “Normal Saline”.
Ubat ini adalah Cloperastine 10mg. Boleh diambil 1biji setiap 8 jam untuk rawatan batuk-batuk. Ubat ini tidak menyebabkan rasa mengantuk.
Bagaimana pula jika batuk-batuk. Dalam situasi ini saya akan ambil ubat Cloperastine 10mg yang saya bawa bersama-sama. Jangan takut, ubat ini tidak mengantuk dan ia dalam bentuk tablet bukannya cecair. Pengambilan ubat ini ketika seminar atau bengkel tidak memberi sebarang gangguan dan boleh mengurangkan batuk-batuk.
Itulah antara ubat-ubat yang saya bawa bersama-sama apabila saya ketika outstation. Ini cuma sekadar cadangan sahaja. Banyak lagi jenis kombinasi ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk merawat sakit-sakit ringan.
2 Perkara penting sebagai pesakit atau pengguna ubat mesti tahu.
1. Kita perlu tahu bila masanya perlu berhenti mengambil ubat untuk swa-perubatan (selfmedicate). Secara amnya jika kita telah menggunakan ubat-ubatan untuk tujuan merawat sakit-sakit ringan secara sendiri namun setelah 2-3 hari masih tiada ‘response’ yang baik, maka di situ menunjukkan bahawa kita memerlukan rawatan dan pemeriksaan lanjut daripada doktor yang merawat di fasiliti kerajaan mahupun di swasta.
2. Saya perlu ingatkan bahawa ubat-ubatan yang dinyatakan dalam posting ini sesuai dan serasi dengan saya. Bermaksud saya tiada sebarang alahan mengambil ubat ubatan ini. Namun bagi individu lain mungkin ada yang alah terhadap beberapa jenis ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit atau ubat demam. Maka kita perlu tahu apakah ubat yang kita alah dan dapatkan nasihat daripada ahli farmasi untuk alternatif ubat lain yang mempunyai fungsi yang sama.
Jadual jenis ubat, dos biasa (orang dewasa), frekuensi pengambilan ubat dalam sehari dan untuk tujuan rawatan apa. Cuma cadangan sahaja. Mungkin ada kombinasi jenis ubat-ubatan yang lain yang sesuai dengan diri seseorang.
Jika anda perasan, tiada pun Antibiotik dalam senarai ubat-ubatan yang saya bawa pergi outstation. Ingat antibiotik bukan ubat ajaib. Antibiotik tidak boleh digunakan tanpa nasihat atau arahan doktor. Antibiotik memerlukan preskripsi kerana ia tergolong dalam ubat-ubatan kumpulan B dalam Akta Racun 1952.
Ini adalah contoh di mana lokasi maklumat tarikh luput pada ubat dalam kerajang timah (blister pack). Cara bacanya mengikut contoh gambar ini adalah; tarikh luput ubat ini adalah pada bulan April 2019.
Moga informasi yang disampaikan ini boleh dimanfaatkan bersama-sama. Selepas ini jika kita pergi outstation kita sudah ada bekalan ubat jika kita mengalami sakit-sakit ringan. - Siakap Keli