KUALA LUMPUR : Sebuah pesawat Malaysia Airlines MH179 penerbangan ke Colombo, Sri Langka, yang dilaporkan berpatah balik selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 11.34 malam semalam adalah disebabkan oleh masalah seorang penumpang yang mabuk.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pesawat itu berpatah balik bukan atas masalah teknikal.
"Pesawat itu terpaksa berpatah balik kerana masalah seorang daripada penumpang di dalam pesawat terbabit.
"Kami juga kini sedang menunggu kenyataan daripada pihak MAS berhubung kejadian itu," katanya.
BACA: Pesawat MH179 Berpatah Balik Selepas Berlepas Dari KLIA
Terbaru, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Malaysia Airlines sebentar tadi, mereka mengesahkan kejadian pesawat MH179 terpaksa berpatah balik adalah disebabkan salah seorang penumpang telah menggangu kakitangan mereka di dalam kapal terbang selepas pesawat berlepas.
Penumpang tersebut dipercayai dalam keadaan mabuk telah menyebabkan suasana di dalam pesawat agak terganggu.
Menurut mereka lagi, penumpang lain terpaksa membantu krew MH179 untuk menangkap lelaki tersebut kerana badannya yang agak besar.
Keputusan diambil untuk berpatah balik oleh kapten kapal adalah sebagai langkah keselamatan dan keselesaan penumpang lain.
Apabila pesawat mendarat, lelaki tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa di KLIA.
Pesawat MH179 tersebut dikatakan berlepas dari KLIA pada pukul 11.34 malam dan dijangka akan mendarat di Colombo pada pukul 12.18 pagi waktu tempatan.