(Video) Tersingkir Gara-Gara Kulit Ayam Rendang Tak Rangup, Netizen Malaysia Selar Juri MasterChef UK Selepas Singkirkan Zaleha
''Ayam anda tidak rangup, ia tidak boleh dimakan''
Jika anda seorang tukang masak yang mahir menyediakan juadah rendang, tetapi ada yang memberi kritikan sebegitu, apakah perasaan anda?
Hakikatnya, itulah yang perlu dilalui oleh seorang tukang masak kelahiran Malaysia, Zaleha Kadir Olpin, 48, apabila tersingkir daripada rancangan realiti masakan popular, MasterChef UK pada 25 Mac lalu apabila juri rancangan tersebut, Gregg Wallace mempertikai penyediaan rendang ayamnya yang dikatakan tidak rangup pada bahagian kulit.
Anda pernah makan rendang ayam yang rangup?
Dalam episod tersebut, Zaleha tampil mempersembahkan juadah tradisional dan popular tanah air iaitu Nasi Lemak yang dihidangkan bersama dengan rendang ayam, yang menurutnya adalah juadah yang sangat istimewa.
"Saya masih ingat, ketika kecil, saya selalu membeli nasi lemak di sebuah gerai yang berharga 20 sen, tetapi itulah nasi lemak yang paling sedap di dunia!
"Ketika saya bawa pulang suami saya ke Malaysia untuk bertemu keluarga, nasi lemak adalah juadah yang dimasak ibu saya untuknya. Dia 'hampir mati' kerana ia sangat pedas," kata Zaleha.
Bagaimana pun, berang dengan kritikan juri tersebut yang dikatakan tidak menghormati dan memahami budaya dan cara masakan bangsa lain, ramai netizen Malaysia menyerbu dan melemparkan kritikan terhadap juri tersebut melalui akaun Youtube MasterChef UK. Malah ada yang menyifatkan penyikiran Zaleha dilakukan secara tidak adil.
"Apa kriteria untuk menjadi juri? Anda tidak layak jika tidak tahu menghormati cara masakan bangsa lain," kata seorang netizen dengan nama Nurul Hamzah.
"Jika anda datang Malaysia dan beritahu mak cik-mak cik di sini ayam rendang perlu rangup, anda pasti akan kena tampar," kata DL pula.
Zaleha yang kini menetap di Bristol, UK bersama suami dan dua anak perempuan mereka merupakan seorang wanita yang berasal dari Kuantan, Pahang.
Sumber : Astro Awani