Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

''5 Hotel Di Asia Yang Menyeramkan, Mungkin Boleh Buat Anda Tidak Tidur Malam'', 'Kaki Travel' Wajib Baca

13 Apr 2018

Bagi yang inginkan percutian yang selesa, menikmati cuti sambil merehatkan fizikal dan mental, hotel menjadi salah satu perkara penting yang dititikberatkan. Kamar tidur yang kemas dan bersih dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, pasti rasa seronok kan untuk bercuti. 

Namun, bila bercakap pasal hotel pasti anda biasa dengar tentang kisah-kisah hotel yang berhantu. Mendengar bunyi tapak kaki sedangkan tiada sesiapa, bunyi air mengalir, lampu yang tiba-tiba tertutup dan hidup sendiri, bahkan melihat kelibat seperti melintas. Mitos atau fakta?


Bagi sebahagian orang yang tidak percaya kepada perkara-perkara 'mistik' seperti itu, mereka tidak akan mengendahkannya. Tetapi ada juga yang mengambil langkah peringatan kerana bimbang berdepan dengan situasi tersebut. Siapa je yang tak takut kan?

Tapi sekiranya anda mahu travel di negara Asia, baca dulu perkongsian ini. Lima senarai hotel di Asia ini mendapat reputasi sebagai penginapan pelancongan yang menyeramkan. Kebanyakan kisah-kisah seram ini boleh diperolehi melalui Google.

Malah, percaya atau tidak, sebahagian cerita tersebut dikongsi oleh para pelancong menerusi laman maklum balas TripAdvisor. Walaupun begitu, kisah-kisah yang dikongsikan ini tidak disahkan oleh mana-mana pihak. Mana tahu anda teringin untuk cuba menginap?

1.HOTEL BAIYOKE SKY, BANGKOK THAILAND


(Gambar: Hotel Baiyoke Sky)

Terletak 88 tingkat di atas Pasar Pratunam (Pratunam Market), Bangkok, Hotel Baiyoke Sky adalah hotel tertinggi Thailand sehingga tahun 2012 dan ia adalah sebahagian daripada Menara II Baiyoke yang setinggi 304 meter.

Namun ia dibelenggu pengalaman menyeramkan sebahagian pelancong yang pernah menginap di sana. Menerusi laman maklum balas TripAdvisor, para pelancong berkongsi tentang bunyi-bunyian yang kedengaran dari tab mandi, bunyi tapak kaki, kad kunci bilik yang beralih tempat secara tiba-tiba dan juga tiupan angin sejuk.

Sebahagian daripada mereka mengaitkan insiden-insiden tersebut dengan kematian tiga pekerja pada bulan Mei 2012. Ketiga-tiga pekerja itu sedang memasang papan iklan pada bangunan apabila kabel yang menyokong gondola yang dinaiki mereka tiba-tiba putus, menyebabkan tiga daripada lima pekerja terjatuh dari ketinggian 67 tingkat dan meninggal dunia.

2. GRAND HYATT TAIPEI, TAIWAN


Gambar lama lobi Grand Hyatt Taipei. (Gambar: stuff.tv.com/CNA)

Setelah diubah suai beberapa tahun lalu, bangunan Grand Hyatt Taipei yang lebih moden itu tersergam indah. Ruang lobi dan bilik-biliknya yang cantik bertemakan Oriental layak menerima tetamu-tetamu terkenal, seperti Hugh Jackman, dan Nicholas Cage.

Namun, jika anda Google hotel lima bintang itu anda bukan dihidangkan dengan pengalaman bintang-bintang antarabangsa sebaliknya cerita-cerita menyeramkan. Ini termasuk tentang bunyi ‘orang’ berdengkur dan seorang pelancong yang tidak dapat tidur gara-gara mangkuk tandas yang ‘dipam’ berkali-kali sedangkan ia tidak rosak.

3. HOTEL MARROAD NARITA INTERNATIONAL, NARITA, JEPUN

(Gambar: Hotel Marroad Narita International)

Lokasinya yang dekat dengan Lapangan Terbang Narita menjadikan hotel ini pilihan popular dalam kalangan anak-anak kapal. Oleh itu, kebanyakan kisah seram hotel tersebut dikongsi oleh mereka.

Seorang individu berkongsi pengalaman rakannya yang merupakan bekas anak kapal. Sepanjang malam, beliau terjaga disebabkan bunyi air menitik dari paip di tingkat atas. Ia berselang-seli pula dengan bunyi kuat tapak kaki. Hanya pada pagi keesokan harinya, beliau menyedari tiada bilik lain di tingkat atas kerana biliknya berada di tingkat paling atas.

Menurut sebahagian orang, kisah-kisah menyeramkan itu disebabkan satu insiden ngeri yang berlaku pada tahun 1999. Salah seorang anggota kultus (cult) ‘Life Space’ dikatakan meletakkan mayat membusuk seorang lagi anggotanya di bilik 1272.

Malah beliau enggan menerima sebarang khidmat daripada kakitangan hotel bagi bilik tersebut dan enggan meninggalkan bilik itu walaupun sudah berkali-kali diminta oleh pihak pengurusan. Polis kemudian dihubungi pada bulan November dan mereka menjumpai mayat individu yang bernama Shinichi Kobayashi.

Menurut laporan berita, lelaki berusia 66 tahun itu tidak sedarkan diri disebabkan darah beku pada bahagian otaknya. Sekalipun begitu, anaknya enggan mendapatkan bantuan perubatan dan menyeludup Kobayashi keluar dari hotel untuk dibawa berjumpa guru kultus, Koji Takahashi, bagi mendapatkan rawatan. Lelaki tua itu kemudian meninggal dunia namun Takahashi meyakinkan pengikutnya bahawa Kobayashi masih hidup dan terus merawatnya.

4. HOTEL THE TAJ MAHAL PALACE, MUMBAI, INDIA

(Gambar: booking.com/CNA)

Hotel ini mempunyai latar belakang yang menarik. Pemiliknya Jamshedji Tata dilaporkan dilarang masuk ke dalam Hotel Watson kerana ia hanya untuk orang putih. Beliau begitu marah terhadap diskriminasi itu sehingga berikrar untuk membina sebuah hotel untuk Mumbai dan bakal menarik masyarakat dari pelbagai kaum.

Namun, berikut ini adalah bahagian sejarah yang tidak dapat dibuktikan sehingga hari ini.

Arkitek Hotel Watson, W.A. Chambers, melakar pelan lantai bagi Hotel Taj Mahal. Namun, yang sukar dipercayai adalah – apabila Chambers kembali ke India dari England, beliau mendapati hotel tersebut dibina bertentangan dengan apa yang sudah dilakarkan sebelum ini.

Sedang sebahagian sumber melaporkan beliau meninggal dunia di London, sebahagian yang lain menyatakan, kekecewaan yang dialami arkitek itu membuatkan beliau membunuh diri dengan melompat dari tingkat lima hotel. Sejak itu, desas-desus tentang kelibat Chambers berlegar-legar di sayap lama bangunan hotel menjadi popular.

Sekalipun begitu, kisah ini tidak disahkan oleh mana-mana pihak.

5. HOTEL PRESIDENT, MACAU, HONG KONG


(Gambar: macaulifestyle.com/CNA)

Jika tiba-tiba terhidu bau minyak wangi, mungkin anda patut meminta untuk menukar bilik. Seorang pelancong mengalami perkara itu setiap kali beliau memasuki bilik air walaupun beliau tidak membawa sebarang minyak wangi.

Keesokan harinya, menurut beliau, peralatan soleknya – yang sudah disusun di bilik mandi – berselerak.

Beliau kemudian mendapat tahu, satu insiden pembunuhan ngeri berlaku di bilik yang sama pada tahun 1997. Selepas mengadakan hubungan seks dengan dua orang pelacur, seorang lelaki membunuh mereka, mengerat-ngerat anggota badan mereka dan sebahagian daripadanya dicampak ke dalam mangkuk tandas dan dipam.

Satu lagi pengalaman yang dikongsi di laman TripAdvisor, seorang pelancong diberikan bilik 1009 pada pukul 2.00 pagi. Menurutnya, beliau ternampak seorang lelaki tua berkaca mata memasuki bilik itu dan kemudian hilang secara tiba-tiba, tanpa bunyi pintu dibuka dan ditutup.


Sumber : berita.mediacorp
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. AJOQQ menyediakan 8 permainan yang terdiri dari :
    Poker,Domino99 ,BandarQ,BandarPoker,Capsa,AduQ,Sakong,Bandar66 ( NEW GAME )
    Ayo segera bergabung bersama kami di AJOQQ :)
    Bonus : Rollingan 0.3% dan Referral 20% :)

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "