Kerja rumah tidak pernah dilabelkan secara hakiki sebagai kerja orang perempuan. Namun disebabkan pekerti wanita yang lemah lembut, cukup tertibnya serta prihatin, tugas itu dikatakan lebih sesuai untuk perempuan walhal sekarang lelaki dan perempuan duduk sama rendah, berdiri sama rata.
Tidak kira anak lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu diasuh untuk melakukan kerja rumah, secara tidak langsung ia dapat mendisiplinkan diri dan memanfaatkan kepada mereka apabila dewasa kelak, terutama sekali sikap ini dapat membantu mereka apabila sudah berumahtangga. Tidaklah serahkan bulat-bulat semuanya kepada isteri.
Perkongsian daripada Intan Dzulkefli kelmarin telah mendapat hampir 15,000 shares kurang daripada 24 jam kerana rata-rata masyarakat bersetuju dengan apa yang dikongsikan. Ianya seperti membuka mata kita, lelaki atau perempuan untuk sama-sama bertanggungjawab menjalankan tugas ini dan tidak meletakkannya kepada satu pihak saja, ianya tidak adil.
Zaman kini, zaman moden dimana wanita juga bekerja. Kembali dirumah profession daripada pekerja bertukar menjadi isteri dan ibu, lain pula bagi lelaki. Setibanya mereka dirumah, mereka masih suami dan ayah tetapi hanya terletak pada gelarannya tidak kepada tanggungjawabnya. Tidak semua begitu, namun hal ini perlu diambil serius. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.
Saya kagum sungguh melihat wanita yang masih mampu me'raja'kan semua kaum lelaki di dalam rumah. Makan dihidangkan, air basuh tangan dihulurkan, nasi dicedokkan, air minum dituangkan. Fuh, pendek kata semuanya disediakan di depan mata, cuma makan sahaja yang tidak disuapkan.
Selepas makan, pinggan sekadar ditinggalkan atas meja. Bangunlah masing-masing meninggalkan meja berselerak. Termangulah kaum wanita ibarat cicak berak kapur. Sudahlah tadi penat memasak, kemudian sambung pula tugas membasuh pinggan bertimbun. Dari memasak, membasuh pinggan & pakaian, menyapu, bahkan kadang nafkah diri sendiri pun diri sendiri yang tanggung. Sungguh saya kagum!
Selalu terlihat, si emak baru nak menyuap nasi setelah penat uruskan itu ini, datang si bapak minta bersihkan buntut anak yang berak. Sedangkan si bapak tadi tiada apa hal pun nak dibuat. Sebabnya dalam Masyarakat telah dibiasakan bahawa uruskan anak-anak sepenuhnya tugas isteri. Tugas lelaki hanya penyumbang air mani sahaja.
Betulkah begitu?
Maaf, saya tidak sesabar itu.
Saya melihat sendiri natijahnya kerana terlalu memanjakan kaum lelaki. Apabila si emak jatuh sakit berminggu, akhirnya berlonggoklah pinggan mangkuk, baju kotor semuanya yang hanya dibersihkan semula setelah si emak tadi beransur sihat. Bayangkanlah betapa masing-masing tidak tahu bertanggungjawab. Puncanya? Sebab tidak dibiasakan buat kerja rumahtangga sejak dari kecil. Sebab dibiasakan bahawa semua itu tugas hakiki orang perempuan.
Wahai emak, sedarlah kita tidak selamanya kuat & sihat. Memang kita sayang anak-anak, tetapi sebab sayang itulah kita perlu ajar mereka buat kerja rumah. Ajarlah anak-anak kita agar ringan tulang & tahu tanggungjawab.
Wahai isteri, kita tidak selamanya ada banyak masa untuk melayan lelaki seperti raja, semakin lama berkahwin, semakin bertambahlah komitmen kita. Ustaz Kazim & Datuk Fadzilah Kamsah sendiri pernah berpesan, didik suami untuk sama-sama uruskan urusan rumahtangga sejak dari hari pertama kita halal untuknya.
Rumahtangga ini rumahtangga kita bersama, maka, perlukan usahasama setiap dari kita. Jangan kelak kita tak ubah seperti hamba abdi yang tidak bergaji. Waktu itu, kesal pun sudah tidak berguna lagi.
Sedar atau tidak, budaya inilah antara faktor yang menyumbang kepada golongan suami yang lepas tangan dalam urusan rumahtangganya seperti yang berlambak kita lihat hari ini.
Ubahlah.
Ubah!
Apa yang perlu kita lakukan untuk mengubah budaya ini? Saya percaya jika kita mahu mengubah sesuatu, ubahlah dari diri sendiri, pasangan, anak-anak & keluarga. Semuanya bermula dari pendidikan awal kanak-kanak semasa bersama keluarga.
1) Para ibubapa perlu mengajar anak lelaki sama-sama menyediakan meja sebelum waktu makan. Ambillah bahagian tidak kisahlah apa sahaja kerja, perlu involve. Banyak saja kerja.. Ceduk nasi, ceduk lauk, ambil sudu, ambil pinggan & cawan, siapkan air & lain-lain. Sesekali minta anak lelaki yang mencedukkan nasi & tolong serve untuk family makan. Mintanya mengetuai bacaan doa makan juga.
2) Ajar anak lelaki menghantar pinggan ke sinki & tolong kumpulkan pinggan bagi sesiapa yang sudah selesai makan. Contohnya semasa dia sudah selesai makan, nampak emak & ayahnya sudah habis makan, ajarnya untuk volunteer menghantar pinggan mereka juga ke sinki & mencucinya. Sesekali tetapkan gilirannya untuk membasuh semua pinggan kotor keluarga hingga selesai.
Gambar Hiasan |
3) Ajar anak lelaki sentiasa mengutamakan orang lain dalam mengambil giliran hidangan makanan, tidak gelojoh & gopoh serta tidak sewenangnya mengkritik masakan kecuali jika diminta. Itupun perlulah bersopan kerana Rasulullah SAW sendiri tidak pernah mencerca makanan.
4) Begitu juga dalam pengurusan pakaian. Ajarlah anak lelaki mengumpul baju kotor ke dalam bakul & memasukkan ke dalam mesin sekiranya telah penuh. Tolong sidaikan baju, angkat baju & lipat baju keluarga sekiranya nampak ahli keluarga lain sibuk hal lain.
Tentunya teladan terbaik ini bukan sekadar arahan & nasihat bahkan ditunjukkan sendiri oleh akhlak bapanya yang sentiasa membantu isteri dalam urusan rumahtangga. Moga akan diperwarisi kepada anak, cucu & seterusnya. InsyaAllah.
Ajarlah anak lelaki kita agar menjadi insan yang bermanfaat, bermulanya dengan perkara yang sering dianggap remeh & kecil seperti hal di dapur, di meja makan & mendobi.
Gambar Hiasan |
Tidak jatuh pun martabat apabila buat semua kerja rumahtangga. Tidak kurang kelelakian pun jika memasak, basuh pinggan & lipat baju. Malah, ia menambahkan sakinah, rahmah & mawaddah, insyaAllah.
Jomlah jadi masyarakat yang lebih hebat. InsyaAllah.
Semua ini hanya pendapat peribadi saya melalui pemerhatian sekeliling.
Ramai sahaja ibubapa hebat yang mendidik anak-anak lelaki & perempuan semua pandai serba serbi yang kemudiannya pandai bawa diri apabila ketiadaan ibubapa & berakhlak mulia apabila di rumah orang lain.
Paling penting, menjadi pasangan yang menyenangkan hati apabila berkahwin kelak. InshaAllah!