Hanya 'Bersenjatakan Sekeping Kertas', Lelaki Berjaya Rompak RM600,000 Dari Sebuah Bank Di Damansara
Seorang lelaki hanya berselipar, berseluar pendek dan 'bersenjatakan sekeping kertas' yang dipercayai mengandungi pelan lantai bank berkenaan berjaya melarikan wang tunai sebanyak RM600,000 yang dicurinya dari bilik kebal di sebuah bank bertempat di Damansara Heights.
Suspek yang berketurunan India menyamar sebagai seorang penyelenggara alat pemadam kebakaran yang membawa beg sandang dan berpakaian kasual dilihat masuk dan berlegar-legar di dalam bank sebelum berjaya melarikan wang tunai RM600,000 dalam masa 20 minit.
Kejadian yang berlaku pada 8 September lalu bermula apabila, suspek yang berusia dalam lingkungan 30 tahun ini dipercayai memasuki bank kira-kira jam 12.30 tengahari dan memperkenalkan dirinya sebagai juruteknik syarikat alat pemadam kebakaran.
Bagaimanapun, suspek tidak dibenarkan untuk meneruskan tugasnya oleh seorang pengurus bank kerana dia gagal membuktikan identitinya sebelum pengurus bank tersebut beredar untuk makan tengahari.
Namun, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat tidak meninggal premis berkenaan sebaliknya berlegar-legar di tempat itu sebelum menyelinap masuk melalui pintu di belakang kaunter bank.
Sewaktu kakitangan bank sedang sibuk, dia berpura-pura memeriksa alat pemadam api berkenaan dan kemudiannya menghampiri bilik kebal yang didakwa hanya boleh diakses oleh pengurus bank dan ketua juruwang menggunakan kod akses peribadi.
Apabila seorang ketua juruwang masuk ke dalam bilik kebal itu, suspek segera meletakkan sekeping magnet pada selak pintu yang berkunci secara automatik bagi mengelakkan selak itu terkunci apabila ia ditutup.
Suspek berjaya masuk ke ruangan bilik kebal beberapa minit selepas ketua juruwang keluar dan memasukkan wang ke dalam beg yang digalasnya sebelum beredar keluar dari bank dengan tenang.
Bagaimanapun, tidak sampai 2 jam, kakitangan bank mula mengesan jenayah yang berlaku di dalam premis tersebut.
Sekitar pukul 2.30 petang, pengurus bank yang mula curiga selepas bertanyakan tentang suspek segera memeriksa peti besi di bilik kebal dan mendapati RM600,000 telah lesap.
Menurut sumber, penyiasat telah menahan pengurus bank yang berusia 40-an sejurus selepas kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis.
Pengurus tersebut direman 2 hari sebelum dibebaskan kerana didapati tidak bersalah.
Menurut jurucakap polis, suspek tersebut masih bebas dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan.
"Suspek berketurunan India itu dikehendaki polis bagi membantu Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD)di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sumber- Harian Metro