Jatuh Pentas, Lufya Mohon Doakan Kandungannya Selamat
PETALING JAYA: Malang nasib Lufya Omar yang sedang hamil lapan bulan apabila dia terjatuh dari pentas selepas siaran langsung Da'i pada malam Ahad lalu.
"Selepas tamat program Da'i saya mengalami musibah terjatuh dari stage lebih kurang satu meter tingginya". Tidak sangka kejadian itu berlaku terlalu pantas hanya beberapa minit selepas habis program berkenaan.
"Saya diajak bergambar bersama usahawan yang merupakan pemilik jenama Siti Khadijah tetapi belum sempat bergambar saya terjatuh dari pentas.
"Dalam keadaan tidak menyedari ruang yang saya berdiri sudah di hujung pentas dan lantai hitam yang saya jangkakan pentas rupa-rupanya ia ialah lantai menyebabkan saya tidak perasan lalu terjatuh," ujarnya.
Lufya atau Lutfyah Sheikh Omar,32, yang ditemani suaminya, Che Mohammad Hafiz, dimasukan ke Pusat Perubatan Tropicana sejurus selepas kejadian malang tersebut. Namun, dia kini sudah dibenarkan pulang dan berehat di rumah.
Dalam pada itu dia dan kandungannya masih dalam pemerhatian pihak doktor akibat kejadian itu dan memohon agar orang ramai mendoakan keadaan kesihatan dan kandungan yang kini berusia lapan bulan itu selamat.
"Malang tidak berbau, Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini cuma memohon setiap doa anda supaya kandungan bayi saya dalam keadaan sihat dan kecederaan saya beransur pulih, katanya.
Sumber: mStar