Semalam kita digemparkan dengan tersebarnya sebuah video yang menunjukkan seorang remaja sanggup memukul seorang wanita yang dipercayai ibunya sendiri selain selain melontarkan kata-kata kesat kerana wang.
Berdasarkan video tersebut, jelas terdengar suara wanita tersebut yang mengaduh kesakitan ketika dipukul selain turut terdengar suara wanita lain yang dipercayai nenek remaja terbabit cuba membela wanita yang dipukul itu.
Pihak polis mengesahkan telah menerima laporan dari bapa remaja berkenaann kerana bimbang akan keselamatan keluarganya terutama remaja terbabit susulan penyebaran video tersebut menurut Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias.
“Pengadu berusia 39 tahun memberikan video terbabit kepada guru sekolah anaknya dengan niat agar guru berkenaan menasihati anak pengadu itu.
“Kemudian pengadu menerima banyak panggilan daripada saudara mara bertanyakan mengenai video terbabit selepas ia tular di Facebook dan dikecam banyak pihak,” katanya lagi.
Ujarnya, keluarga wanita itu enggan sebarang tindakan diambil terhadap remaja tersebut atau terhadap mana-mana pihak. Manakala wanita yang dipukul itu tidak mengalami sebarang kecederaan atau kesan pukulan kerana remaja itu hanya memukul menggunakan tangannya sahaja.
Sementara itu di laman Facebook, individu yang mendakwa menyebarkan video tersebut tampil memohon maaf secara terbuka di laman Facebook miliknya atas kesilapan tersebut.
Pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai Jejaka Sereng memohon maaf kepada keluarga remaja tersebut kerana memuat naik video itu kira-kira jam 6 petang semalam.
Tambahnya lagi, dia mendakwa memperoleh video tersebut melalui rantaian pesanan yang bermula daripada adik remaja yang bertindak memukul wanita itu sendiri.
"Video daripada seorang adik hantar kepada orang, sampai kepada saya, saya viralkan.
"Tapi saya ingin memohon maaf kerana menviralkan (menularkan). Rasa bersalah terhadap keluarganya kerana menviralkan. Maafkan atas apa yang berlaku," katanya lagi.
Jejaka Sereng turut mendakwa bahawa kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Flat Taman Bukit Teratai, Ampang pada jam 9 pagi selain turut menggesa netizen untuk berkongsi video tersebut kerana terdapat pihak yang sedang mencari remaja berkenaan.
BACA: (VIDEO) "Kami Tengah Cari Budak Ini," Remaja 16 Tahun Pakai Spender Biru Dipercayai Pukul Ibu Sendiri Tersebar
Sumber : Harian Metro