Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Mengapa Orang Ramai Mudah Terpengaruh Dengan Skim Cepat Kaya? 7 Sebab Ini Menjadi Cara Mereka Memanipulasi Mangsa

4 Jul 2017
One Comment

Cara penipuan sebegini telah lama digunakan dan dipraktikkan oleh mereka yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan dan pengharapan orang untuk berubah. Ianya mengeksploitasi orang lain demi kepentingan sendiri.

Skim cepat kaya, sudah mengambil tempat dalam kehidupan kita lama dahulu, walau banyak yang sudah ditumpaskan dan didedahkan ‘perniagaan’ mereka, tapi masih ada lagi yang beroperasi serta mencari mangsa baru.

Sebelum membuat pelaburan, kita seharusnya menilai dahulu dalam beberapa aspek, dalam mengenalpasti sama ada ianya skim cepat kaya atau tidak.

BACA: Jangan Terus Melabur Dalam Mana-Mana Skim, Ketahui 5 Perkara Ini Dahulu, Agar Tidak Menjadi Mangsa Skim Cepat Kaya

Namun begitu, dalam tidak sedar, walau telah didedahkan mengenai skim cepat kaya, masih ramai yang menjadi mangsa. Mengapa begitu? Menerusi perkongsian dari saudara Mohd Izwanuddin Abd Rahim, 7 punca ini menjadi sebab akan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan.

Mari kita lihat akan sebab tersebut.


Dari zaman skim Pak Man Telo sehinggalah ke Mecca Fund, masih ramai yang terpedaya dengan skim cepat kaya.

Mengapa orang ramai mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya?

Antara sebabnya :

1. Kesan Halo ( Halo Effect )

Kesan Halo ialah bias kognitif atau kecelaruan proses pemikiran yang berlaku kepada seseorang apabila dirinya berasa kagum dan terpengaruh dengan watak yang ditampilkan oleh orang lain. Halo ialah lingkaran berbentuk bulatan bercahaya di atas kepala seseorang, seperti gambaran malaikat yang diimaginasikan oleh sesetengah orang Barat. 

Halo sering dikaitkan dengan orang yang dianggap sebagai berpewatakan agama, hero, pejuang, dan sebagainya. Dalam modus operandi skim cepat kaya, penganjur skim akan cuba mempengaruhi orang ramai dengan berpewatakan kemas, tampil bergaya, dan memakai barangan berjenama. 

Pewarakan seperti ahli agama yang dilapik dengan ayat-ayat dari kitab suci juga akan digunakan jika perlu.

“ Dia pakai kereta mahal, mesti sebab skim ini berjaya.”

“ Cakap tidak tengok orang. Takkan tok lebai hendak menipu pula.”

“ Dia ada gelaran Dato’ dari Sultan Melaka. Phd dia dari Universiti Gordon. Bukan calang-calang orang ini.”

Orang yang terkena kesan Halo akan menganggap pemilik skim ini orang yang boleh dipercayai berdasarkan penampilan luaran mereka. Kesan Halo ialah salah satu daripada bias konfirmasi.

2. Bias konfirmasi ( Confirmacy bias )

Bias konfirmasi ialah penerimaaan maklumat yang bersifat berat sebelah dan hanya menyokong apa yang seseorang itu mahu percaya. Segala bukti yang berlawanan dengan kepercayaan yang sudah tertanam akan diketepikan begitu saja.

“ Jangan dengar cakap orang yang tidak menyertai kerana mereka tidak faham tentang skim ini.”

“ Penganjur akan beri maklumat bila bayaran akan diberikan, jangan percaya khabar-khabar angin bahawa skim ini bermasalah.”

“ Selama ini lancar sahaja pembayaran dilakukan. Apalah salahnya tertangguh sekadar sebulan dua.”

Apabila sudah terjerat dengan skim ini, kebanyakan mangsa menolak untuk menerima nasihat orang lain yang cuba menasihati mereka tentang bahaya skim tersebut. 

Sebaliknya mereka bermati-matian percaya kepada apa yang diberitahu oleh penganjur skim dan mengabaikan bukti-bukti nyata tentang kebobrokan skim tersebut.

3. Sindrom penafian ( denial syndrome )

Sindrom penafian ini juga berkaitan dengan bias konfirmasi. Antara kisah yang sering dikaitkan dengan sindrom penafian ini ialah kisah seekor katak yang dibiarkan terendam dalam bekas berisi air. 

Pada mulanya bekas itu sejuk dan katak itu tidak melompat keluar. Kemudian bekas itu dipanaskan perlahan-lahan dan air semakin hangat. Namun katak itu tidak melompat keluar kerana ia masih yakin air tetap sejuk. Akhirnya katak itu mati kepanasan di dalam bekas air itu. 

Inilah yang berlaku kepada mangsa skim cepat kaya ini. Apabila orang mula mempersoalkan tentang skim yang mereka sertai, para mangsa menafikan bahawa skim itu ialah skim cepat kaya.

“ Bulan ini lambat sedikit dapat dividen sebab ramai sangat yang masuk skim ini.”

“ Ada laporan polis terhadap skim ini kerana ramai yang dengki dengan kejayaannya.”

“ Skim ini hanya tersenarai dalam senarai yang diawasi oleh Bank Negara. Bukannya bermakna ini skim tipu.”

Mereka akan cuba menjustifikasikan segala kepincangan yang berlaku kepada skim dengan pelbagai alasan. Apabila akhirnya skim itu benar-benar terkubur, mereka masih tidak insaf malah menyertai skim penipuan yang lain pula.


4. Kesilapan terhadap sesuatu yang jarang didapati ( Scarcity error )

‘Scarcity error' ialah kesilapan berfikir yang berlaku kerana kita berasa bahawa sesuatu itu hal yang unik dan jarang berlaku. Penganjur memanipulasi emosi mangsa dengan menjadikan seolah-olah skim ini satu peluang keemasan yang tidak patut dilepaskan.

“ Lebih banyak yang dilaburkan, lebih banyak untung.”

“ Tawaran terhad hanya kepada 100 orang terawal sahaja. Selepas itu harga akan dinaikkan.”

“ Ini skim yang halal dan Islamik, bukan macam skim-skim lain.”

Ini menyebabkan mangsa tidak sempat berfikir panjang lalu terburu-buru melaburkan wangnya.

5. Penetapan Phantom ( Phantom Fixation )

Phantom biasanya diterjemahkan sebagai hantu atau sesuatu yang ditakuti. Penetapan Phantom ialah taktik yang digunakan oleh skim cepat kaya dengan menjanjikan keuntungan yang tertentu kepada orang yang menyertai skim mereka. 

Keuntungan ini biasanya bernilai besar dan modal yang dilaburkan oleh mangsa pula dianggap kecil berbanding dengan keuntungan yang bakal diterima.

“ Tuan sertai dan duduk goyang kaki saja. Tiap-tiap bulan, duit masuk.”

“ Paling kurang, 5 % dividen tetap akan kami berikan kepada tuan, tidak kira sama ada pelaburan kita untung atau rugi.

“ Tidak rugi pun kalau sertai. Kalau sudah sertai dan mahu berhenti, modal akan dipulangkan.”

Keuntungan ini sebenarnya adalah keuntungan yang bersifat khayalan dan janji manis sehaja tetapi tidak disedari oleh mangsa yang telah dikelabui oleh penetapan Phantom.

6. Rayuan bersifat sentimen ( Appeal to sentiment )

‘ Appeal to sentiment ‘ ialah kesilapan pemikiran yang berlaku apabila sentimen digunakan untuk berhujah berbanding dengan memberikan fakta.

“ Skim ini sudah banyak membantu orang.”

“ Tidak apalah kalau gelaran yang digunakan oleh dia palsu, yang penting ilmu yang dia beri.”

“ Tidak kasihankah kepada para pelabur lain kalau kita laporkan tentang skim ini kepada polis?”

Kesilapan pemikiran ini menyebabkan mangsa teragak-agak untuk keluar daripada skim penipuan yang disertainya.

7. Rayuan bersifat autoriti ( Appeal to authority )

‘Appeal to authority' ialah kesilapan pemikiran yang berlaku apabila autoriti digunakan untuk berhujah tanpa mempertimbangkan faktor-faktor lain.

“ Ustaz itu kata ini bukan skim penipuan. ”

“ Artis pun masuk skim ini. Kalau ini skim tipu, tidak mungkin mereka mahu masuk.”

“ Doktor A kata skim ini ok. Dia pun sudah sertai.”

Apa yang perlu diketahui, pengesahan autoriti sahaja belum memadai untuk mengesahkan sesuatu itu bukan skim penipuan. Ini kerana autoriti juga mungkin tersilap jika bidang itu bukan kepakarannya. 

Banyak faktor lain yang perlu diambil kira. Untuk mengesahkan sesuatu skim itu patuh syariah misalnya, Bank Negara mensyaratkan agar sekurang-kurangnya 2 orang penasihat syariah yang berlatar belakangkan pengajian syariah atau usul al-fiqh dilantik terlebih dahulu.

Ini kerana bidang ini memerlukan pengetahuan khusus dan tidak memadai untuk berpada dengan kelulusan dalam bidang agama secara umum.
-------------------------------------------

Skim cepat kaya memanipulasi ketamakan dan hawa nafsu manusia. Manusia yang terpedaya, akan terjerumus ke dalamnya berkali-kali.

Saya tinggalkan sahabat sekalian dengan petikan kata-kata ini daripada Wayne Gerard Trotman :

Instead of loving people and using money, people often love money and use people.

~ MIAR ~

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. b0la, c4sin0, CMDbet, tangkas, sabung 4yam, dll hanya di F4NS B3TT1N9, yukk buruan.. :)

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "