Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Hantar Kurma Secara Rahsia Kepada Jiran, Guru, Serta Rumah Anak Yatim Kerana Tidak Mahu Diheboh-Hebohkan & Sentiasa Ikhlas Terhadap Pemberian

30 Mei 2017
No Comment

Foto: mstar

Beri hadiah, beri sumbangan, atau sedekah adalah salah satu cara yang kita boleh lakukan dalam menolong serta beri penghargaan buat orang lain. Ia juga salah satu perkara yang dibawa bersama setelah meninggal dunia, iaitu sedekah jariah.

Pada bulan yang mulia, mungkin kita ingin memperbanyakkan amalan, dengan cara memberi sedekah, atau sesuatu kepada rakan, atau jiran serta mereka yang kita kenali.

Seperti yang sering dipraktikkan olah ibu bapa kita, yang mana beri sedikit makanan buat jiran, dan ada ketikanya pemberian itu turut dibalas oleh jiran kita.

Bukan itu sahaja, jika kita tidak mahu menghebohkan, atau ingin merahsiakan pemberian kita itu, mungkin dengan cara yang dikongsikan oleh saudara Khairul Hakimin Muhammad ini boleh dilakukan, yang mana telah dibuat oleh rakannya.

Jom kita lihat bagaimana kita boleh bersedekah kepada orang lain dengan lebih istimewa.

Foto: posbelitung

Antara perkara-perkara rahsia yang kita boleh lakukan ialah dengan memberi kepada kawan dan orang lain. Banyak benda aku belajar dari kawan-kawan yang suka sekali berbuat begini, namun mereka ini tak suka nak sembang kencang seperti kita yang selalu rasa sudah berbuat banyak tentang kebaikan kepada orang lain.

Terutama apabila Ramadan ini, ramainya manusia mahu menghulur pemberian. Sama ada yang dimasak atau dibuat sendiri, atau dibeli, janji beri. Itu yang mustahak.

Malah jika kau masih ingat emak kita di kampung yang suka benar menghantar sepiring dua kuih atau lauk pauk ke jiran sebelah.

Sampai ke tahap, lepas 10 minit sahaja dihantar, terus sahaja piring tersebut dipulang kembali dengan isi yang lain. Dan kita pun gembira sama-sama.

Zaman berlalu, masa dan waktu berganti. Emak dan keluarga di kampung teruskan tradisi itu. Maka kita yang di bandar ini mahu juga berbuat perkara yang sama. Ya, kita kan sibuk, nak berbuka pun terkejar-kejar, inikan nak berbalas piring. Sukar.

Kawan saya beri tips ini, power gila. Dia beritahu yang dia buat benda ini sudah sekian lama. Dan dia cukup bahagia. Pada setiap kali Ramadan, dia akan habiskan sekurang-kurangnya RM350-RM600 untuk buat perkara ini.

Apa yang beliau buat ialah:

1. Guna alamat yang dia pernah simpan suatu masa lalu untuk hantar kad raya, namun kini dia mulakan dengan hantar buah kurma. Dia beli di laman web, hanya masukkan alamat kawan-kawannya.

2. Dia juga hantar makanan kepada jiran ibu ayahnya. Ini legend. Geram je aku dia buat benda ini. Ya, dia ingat nombor rumah emak ayah dia, kemudian dia akan kira berapa rumah yang ada sederet itu, maka dia hantar kurma yang sama.

Yang bestnya apabila kurma itu sampai, maka sibuklah semua orang bertanya siapa yang hantar. Sampailah wujudnya group whatsapp, dia tertanya dekat emak dia sendiri ada yang kecoh-kecoh tak tentang orang hantar kurma. Lalu semua tahu dan cukup menyayangi anak makcik yang seorang ini.

Sampai ke tahap orang bertanya sesama jiran, “dah sampai kurma anak makcik itu woih? Aku punya dah sampai!”

3. Dia juga hantar kepada cikgu-cikgu di sekolahnya. Yang dia ada alamat. Katanya, guru-gurunya sampai sekarang berkemungkinan tidak tahu dia yang hantar semua buah kurma itu.

Apabila lihat di Facebook, gurunya tulis “Terima kasih buat yang hantar setiap tahun tanpa jemu, semoga Tuhan memberkatimu”

Itu yang kawan saya nak. Biarlah orang doa kepada dia secara diam-diam. Bukan bingit-bingit di mana-mana.

4. Dan dia juga cari mana-mana rumah anak yatim, ambil alamat dekat carian google dan buat perkara yang sama.

5. Hantar dengan kuantiti yang kita mampu, bukan berbanyak-banyak. Sekadar ingatan dan kena ingat tentang hal-hal pemberian ini, ia bermula dengan ikhlas, kemudian kembali dengan rezeki kepada kita semua. Jadi tenang-tenang sahaja dalam hal-hal mahu menghulur.


Seperti mana kita masukkan duit di dalam tabung masjid. Walau dalam dompet kita ada RM200, namun kita tetap nak beri RM1 ke dalam tabung tersebut.

Tabung tak pernah marah atau bising. Ia hanya menerima, itu konsepnya. Jadi tak perlu risau ya, nak beri sikit atau banyak.

Inilah yang dia lakukan. Dan aku cemburu melihat kebaikan dia yang haram dia tak bising kepada sesiapa. Yang dia buat hanya memberi. Dia buat untuk menyayangi orang-orang yang rapat kepada dia. lalu dia juga dapat kasih sayang yang sama dari Tuhan.

Dia kata, sejak dia buat perkara ini sepanjang Ramadan setiap tahun, rezekinya mudah. Hidupnya juga tidaklah sesusah mana. Hanya sekadar RM350 bajet yang diletakkan setiap tahun, dia puas.

Hanya beri makan buah kurma sahaja kawan-kawan. Jika kalian tidak ada RM350, tak apa. Gunalah berapa yang ada untuk mulakan kisah baik ini. Mungkin tahun ini kita boleh sahaja mula dengan RM10, RM20, RM50.

Untuk beri senyum pada bibir yang menerima. Itu sahaja.

Ya kawan, kalian juga boleh buat perkara yang sama. Mungkin bukan sekadar kurma, mungkin dalam bentuk kerepek, kuih raya dan sebagainya. Ia best dan memberi kepuasan dalam hati.

Itu sesuatu yang istimewa. Kita senyum dari bibir lalu jatuh ke dalam jiwa. Seolah kita sedang mengaji. Rasa nyaman itu berjalan-jalan di dalam darah. Seolah semua yang ada dari kita menghirup nafas yang tak pernah diminta bayar ini kepada makanan yang manis-manis ke perut, ia damai.

Itulah kuasa memberi. Sebuah nikmat yang kita jarang berbuat. Seronoknya itu seperti sebuah penghargaan. Saat kau menerimanya kembali dalam bentuk rezeki yang berbeza-beza, juga dalam bentuk yang kau tak pernah terfikir, maka waktu itu kau akan faham tentang suatu perkara,

Tuhan itu sentiasa melihat kamu dengan penuh cinta.

Khairul Hakimin Muhammad,
Mahu Jadi Hero Seorang Bonda. Cewah.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "