Di usianya yang sangat muda, sukar untuk percaya bahawa kanak-kanak ini banyak menghabiskan masa merawat pesakit.
Malah, dia juga tidak takutkan darah.
Katon, 6, dari Nakhon Ratchasima, Thailand menerima gelaran 'angel saving wounded souls' selepas kisah menakjubkan tentangnya menular di media sosial.
Lapor CGTN, kanak-kanak itu mula melibatkan diri dalam bidang itu ketika dia berusia 2 tahun ketika ibu bapanya sedang membantu menyalurkan makanan kepada mangsa banjir.
Bapa Katon adalah seorang pemandu ambulan manakala ibunya pula seorang jururawat.
Sejak dari itu, Katon mula turun padang apabila terdapat kes-kes yang memerlukan perkhidmatan ibu bapanya (termasuk di bilik kecemasan). Katon bukan sekadar membantu ala kadar sahaja. Dia turut turun padang untuk merawat pesakit yang tercedera.
Menurut bapa, Katon tidak pernah merungut tentang 'pekerjaannya' itu. Malah, dia turut mengikuti kursus-kursus bagi menambah ilmu dalam bidang itu.
"Sejak dari itu (banjir), dia mula membantu orang lain, dia tidak pernah merungut," kata bapa.
Kanak-kanak kecil itu berkata dia tidak takutkan darah atau mayat.
"Ramai orang macam suka dengan saya, mereka ambil gambar dan beri saya duit untuk beli jajan. Saya ambil duit-duit tu dan beri kepada orang miskin," kata Katon.
"Saya juga tak takutkan hantu, kami tak pernah nampak lagi. Dan saya juga pernah melihat mayat dan kini sudah biasa. Papa kata kita tak perlu takut kerana kita di sini untuk membantu" tambahnya.