"(MORTEN) Frost tidak ada hak menentukan karier saya," itu tegas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Merasa tercabar dengan tindakan Frost yang dilihat seakan tidak sabar mahu dia bersara, Chong Wei berkata keputusan (untuk bersara) hanya datang dari dirinya sendiri dan bukan atas 'arahan' Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.
Kemarahan Chong Wei tercetus apabila beliau mendapat tahu Frost memberitahu individu terdekat dengannya bahawa kecederaan terbaru yang dialaminya ketika latihan baru-baru ini adalah pengkahiran kariernya sebagai pemain.
Chong Wei menghadapi kecederaan MCL (Medical Collateral Ligament) ketika berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Sabtu lepas.
Chong Wei juga berkata itu bukan kali pertama Frost membuat sedemikian kerana turut mengemukakan pertanyaan sama selepas berakhirnya Sukan Olimipk baru-baru ini.
Apa yang lebih menyakitkan hati Chong Wei adalah kecederaan terbarunya boleh dielak jika Frost dan Pengurus Besar BAM, Lawrence Chew memenuhi permintaannya menukar getah permukaan gelanggang di ABM.
"Saya berulang kali meminta mereka menukarkannya... saya bukan minta yang baru tapi hanya pindahkan permukaan lama dari Stadium Juara, tapi ia tetap tidak dihiraukan.
"Namun selepas saya cedera, barulah ia ditukar. Kenapa hanya selepas berlaku pada saya baru nak buat, sedangkan sebelum ini beberapa pemain lain juga terjatuh kerana permukaan yang licin," katanya sebagaimana lapor Bernama.
Chong Wei menjelaskan beliau lebih terkilan apabila mendapat tahu reaksi Frost yang menyatakan 'this is end of his career' (berakhirnya kariernya).
"Memang saya marah, mahu bersara atau tidak adalah keputusan saya bukan dia. Sebelum ini saya hanya diam sahaja tetapi kali ini saya tidak boleh tahan lagi, saya sedia bertanggungjawab.
"Jika saya cedera ketika kejohanan, saya boleh terima. Tetapi saya cedera ketika latihan," kata beliau sebagaimana lapor Bernama.
Jelas Chong Wei lagi, beliau masih tetap mewakili negara bukan kerana wang ringgit dan pangkat tetapi minat yang mendalam dalam badminton itu.
"Saya masih beraksi lagi sehingga hari ini bukan kerana duit ataupun pangkat, saya pernah berada di atas dan merasai kejatuhan sepanjang karier saya, tetapi saya mahu tetap beraksi kerana minat, saya sayangkan sukan ini.
"YB Khairy (Jamaluddin- Menteri Belia dan Sukan) sendiri tidak pernah suruh saya bersara, kenapa dia? Khairy ada menanyakan tentang keadaan saya selepas kecederaan ini, saya jawab waktu ini memang kondisi saya tidak baik," katanya.
Sementara itu, Frost ketika dihubungi Bernama enggan mengulas perkembangan terbaru tersebut.
"Saya masih tiada komen," jawabnya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp.
Sumber: Bernama