Ia turut dikukuhkan dengan kejayaan yang telah dibuktikan oleh atlet paralimpik negara, yang mengharumkan negara di persada dunia dalam acara sukan terbesar dunia, Paralimpik Rio 2016. Ini menunjukkan walau anda mempunyai kelainana, tidak bermakna anda tidak mampu untuk terus berdiri sama tinggi dengan insan normal yang lain.
Pada zaman baginda, Nabi Muhammad SAW juga turut mempunyai insan kelainan upaya, yang mana mereka tidak disisihkan, tetapi mendapat layanan yang istimewa oleh Rasulullah SAW sendiri. Mungkin menerusi cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ini, dapat dijadikan iktibar buat kita dalam berurusan dengan orang kelainan upaya. Mari kita selami perkongsian menerusi laman Dr Hesham Al-Awadi ini.
Kurang upaya adalah kekurangan fizikal atau mental yang menghalang seseorang itu dalam mengambil bahagian dalam aktiviti harian sehari-hari biasa.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, orang kurang upaya tergolong dari mereka, sama ada lelaki dan wanita, muda dan tua, Islam atau bukan Islam.
Ada di antara mereka yang mempunyai kekurangan ini semenjak dari lahir, ada juga yang mengalaminya semasa hidup mereka.
Muhammad SAW berurusan dengan orang kelainan upaya ini dengan meningkatkan bakat mereka, memahami emosi mereka, dan juga memberi tumpuan kepada diri mereka yang sebenar.
1. Membangunkan Bakat Mereka
Orang kelainan upaya merupakan insan yang unik dan berbakat, dalam perkara-perkara tertentu, dan ia harus ditemui dan dibangunkan oleh orang di sekeliling mereka.
Ibnu Umm Maktum adalah seorang insan yang cacat penglihatan, namun Muhammad SAW melantik beliau sebanyak dua kali sebagai gabenor di Madinah.
Sesungguhnya, Rasulullah SAW tidak akan berbuat demikian jika Ibnu Maktum tidak mempunyai kemahiran kepimpinan, yang mana telah disedari oleh Nabi Muhammad SAW dan dibangunkan kemahiran tersebut.
Kanak-kanak dengan keperluan khas juga merupakan kanak-kanak dengan bakat yang istimewa.
Mencungkil bakat-bakat yang ada, dan mengukuhkan ia dengan diberi tugasan adalah salah satu cara yang baik dalam pertumbuhan mereka.
2. Memahami Emosi Mereka
Setiap dari kita akan mengalami rasa marah dan kecewa, dan ianya tidak terkecuali buat insan dengan kelainan upaya ini. Mungkin sesetengah dari mereka, akan menyatakan kemarahan mereka dengan cara yang agresif dan menyakitkan.
Fahami emosi mereka, dan bagaimana untuk bertindak balas dengan sewajarnya, adalah kunci penting untuk berhadapan dengan situasi ini.
Nabi Muhammad SAWpernah berhadapan dengan orang buta, yang mana telah menghina Nabi Muhammad SAW. Para sahabat yang bersama Baginda tersingggung dengan kata-kata tersebut, dan ingin menyerang lelaki tersebut. Namun, Rasulullah SAW meminta mereka untuk membiarkan sahaja, dan meninggalkan lelaki berkenaan.
Ianya amat mudah untuk mengasari mereka yang kelainan upaya ini, tidak kira kanak-kanak mahu pun orang dewasa. Kerana dengan kekuatan yang dimiliki, boleh sahaja melemahkan mereka.
Namun begitu, ia sememangnya memberi cabaran buat kita, tetapi dengan izin Allah SWT, ia akan memberi lebih kepuasan, jika kita meredakan keadaan tersebut, dengan kesabaran dan mengawal diri.
3. Memberi Tumpuan Kepada Nilai Sebenar Diri Mereka
Kadang kala kita terlalu memikirkan kekurangan yang ada pada mereka, dan terlepas pandang akan apa yang dimiliki oleh mereka. Ia sama sekali tidak adil, dan amat menyedihkan.
Abdullah Ibnu Masud memiliki fizikal yang sangat pendek, dan apabila berdiri, ketinggian beliau sama sahaja dengan mereka yang sedang duduk.
Apabila para sahabat mentertawakannya, dengan keadaan kakinya yang kecil, Rasulullah SAW berkata: Pada timbangan Allah SWT terhadap keadilan, kakinya lebih berat dari Uhud (gunung yang mempunyai ketinggian lebih daripada 1,000 meter)
Selain cara yang dikongsikan di atas, Nabi juga berdoa untuk orang kelainan upaya ini.
Semoga Allah SWT memberikan kanak-kanak istimewa ini, atau sesiapa sahaja dengan kelainan upaya, agar dipermudahkan urusan di sekolah, tempat kerja, juga kehidupan mereka.
Juga, semoga Allah SWT memberikan kesabaran, kekuatan, dan sokongan buat ibu dan bapa mereka, keluarga, serta orang yang disayangi mereka.