Gua Musang - Kejadian-kejadian aneh dan misteri di Jalan Kuala Krai-Gua Musang banyak menjadi buah mulut pengguna-pengguna jalan yang pernah melalui jalan tersebut.
Terbaru, salah seorang pengguna jalan itu, Amin Hussin menceritakan di Facebook tentang kejadian misteri yang menimpanya sekitar jam 10.30 malam di antara Kampung Sungai Lakit, sebelum tiba di Kesedar Paloh.
Menurut Amin, ketika melalui jalan itu, kereta yang dipandunya tiba-tiba gelap di bahagian tingkap belakang sehingga langsung tidak nampak bahagian belakang.
"Saya jadi bingung, berulang kali saya tekan brek untuk lihat bias cahaya tapi gagal. Cepat-cepat saya kejar kereta jenis Proton Exora di hadapan saya, tiba-tiba kereta saya terasa amat berat.
"Walaupun saya tekan minyak sekuat hati, kelajuan tetap perlahan. Allahuakbar, saya dan isteri rasa panik, bunyi cengkaman pada bumbung dan belakang bonet kereta sangat jelas. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu.
Menurut Amin lagi, turut kedengaran sesuatu sedang merobek pintu belakang seperti ingin membukanya.
"Pintu di bahagian penumpang macam ada sesuatu ingin merobek dan seperti ingin dibuka oleh sesuatu. Semakin kuat ayat suci Al-Quran dipasang, semakin banyak bunyi di sekeliling kereta saya," jelasnya.
Amin berkata lagi, gangguan itu berakhir apabila dia tiba di Paloh dan keadaan menjadi seperti biasa semula.
Namun terdapat tinggalan kesan dipercayai dari kejadian misteri itu.
"Syukur Ya ALLAH, kerana selamatkan kami sekeluarga dari gangguan yang tidak diingini berlaku.
"Sampai di rumah, memang jelas ada kesan calar pada bumbung dan bonet belakang kereta.
"Nasib baik saya tidak lalai dan dapat meneruskan hingga selamat tiba ke destinasi.
"Kejadian ini kali kedua kami alami dan kejadian pertama lagi dahsyat. Untuk pengguna jalan ini, hati-hati memandu. Zikir ALLAH dan azan jika rasa mengantuk dan rasa luar biasa," katanya.
Kesan calar pada kereta Amin |
Kesan calar pada kereta Amin |
Kesan calar pada kereta Amin |
Sumber: Amin Hussin