3A, 3B Syarat Baru Minimum Masuk SBP
PUTRAJAYA, 18 Nov: Kementerian Pendidikan menetapkan syarat baru kemasukan pelajar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kepada 3A dan 3B dalam ujian UPSR pada tahun depan.
Ketua Pengarah, Tan Sri Dr. Khair Mohamed Yusof berkata, perubahan syarat itu dibuat berdasarkan pelaksanaan kurikulum dan format peperiksaan baharu bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016.
"Bagaimanapun, kedudukan pemilihan dan penetapan murid di SBP tidak bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata kerana kita juga akan mengambil kira skor merit akademik serta Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
"Malah, pentaksiran sekolah dan pentaksiran psikometrik juga akan dijadikan sebagai rujukan utama dalam saringan pemilihan murid ke SBP," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan dan Microsoft Malaysia (Microsoft), di sini hari ini.
Sumber: BH Online