KUALA LUMPUR, 17 Okt: Malaysia Milk Sdn Bhd (Malaysia Milk) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan penarikan balik produk susu Marigold HL 200 ml dan satu liter dari pasaran berkuat kuasa serta merta.
Tindakan itu diambil selepas menerima maklum balas pelanggan berhubung produk susu berperisa coklatnya yang lebih pekat dari biasa.
"Walaupun maklum balas pelanggan merujuk secara khusus kepada susu Marigold HL berperisa coklat, kami mengambil langkah proaktif menarik balik produk susu lain, termasuk Marigold HL rendah lemak, berperisa strawberi dan Sterol Tumbuhan.
"Bagaimanapun, hanya produk susu Marigold HL dengan tarikh luput sebelum 7 November bagi Semenanjung dan tarikh luput sebelum 11 November bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang ditarik balik serta-merta," katanya.
Menurut kenyataan itu, pasukan unit Kawalan Kualiti dan Pengilangan sudah mengenal pasti punca masalah terbabit dan menyelesaikannya.
Pelanggan yang sudah membeli produk terbabit dinasihatkan memulangkannya kepada Malaysia Milk dan akan digantikan dengan produk baharu.
"Malaysia Milk ingin memohon maaf atas segala kesulitan akibat penarikan balik produk kerana aspek kesihatan dan keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami," katanya.
Sumber: BH Online