Nahas Gara-Gara Elak Kucing Lintas Jalan
REMBAU, 9 Okt – Disebabkan ingin mengelak seekor kucing yang melintas jalan, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas 65 tahun hilang kawalan seterusnya menyebabkan nahas empat kenderaan di Pekan Kota disini malam kelmarin.
Menurut Sinar Online, empat kenderaan yang telribat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu adalah Proton Saga dari arah Tampin, Toyota Avanza dari arah Rembau, serta sebuah Proton Saga FLX dan Perodua Kancil yang masing-masing sedang diparkir di bahu jalan.
Pemandu Avanza, Mohd Shah Nordin Yahya, 50, memberitahu dia bersama isteri dan tiga anak perempuannya dalam perjalanan pulang ke kampung di Felda Bukit Jalor Gemencheh ketika kejadian.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan masuk ke laluan saya. Saya tidak sempat mengelak dan terus berlaku perlanggaran sehingga menyebabkan bahagian hadapan kereta saya remuk teruk.
“Kami semua kini mengalami sakit-sakit di bahagian badan dan leher susulan rempuhan kuat berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Pemandu Saga FLX, Mohd Jahin, 64, berkata dia yang berada di kedai makan terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan dan tidak menyangka kenderaannya yang di parkir turut dilanggar.
“Pemandu kereta Proton Saga berkenaan kata nak elak kucing tapi saya tak sangka pula hanya ingin mengelak kucing rempuhan teruk seperti ini berlaku.
"Mujur tiada kecederaan teruk menimpa keluarga yang ingin pulang ke kampung itu," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa kemalangan dan kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59.
Sumber : Sinar Online