Foto Hiasan. |
SARIKEI: Seorang wanita warga emas di sini bukan sahaja kehilangan buku akaun dan barang kemas, malah dia turut dipaksa menanggalkan dua gigi emas miliknya dalam satu rompakan di Jalan Nyelong di sini semalam.
Mangsa, 70, turut dilaporkan mengalami kecederaan akibat terjatuh sebelum diseret oleh kenderaan yang dinaiki dua penjenayah itu dalam usaha mereka meloloskan diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Sarikei, Pemangku Superintendan Mat Jusoh Mohamad, mangsa didatangi seorang wanita yang tidak dikenali atas alasan mahu meminjam buku akaun bagi mengeluarkan wang kebajikan miliknya.
"Bagaimanapun, mangsa enggan menurut permintaan itu sebelum wanita terbabit menariknya masuk ke dalam sebuah kereta jenis PROTON Saga berwarna merah.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipaksa menanggalkan dua gigi emas miliknya, selain anting-anting dipakainya," katanya sebagaimana lapor BH Online.
Katanya, wanita warga emas itu kemudian ditinggalkan di sebuah kawasan sunyi berhampiran Jambatan Nyelong, sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.
"Mangsa cuba menahan kenderaan suspek, namun terjatuh hingga menyebabkannya mengalami kecederaan. Bagaimanapun, keadaannya dilaporkan beransur pulih," katanya.
Berikutan itu, Mat Jusoh mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang janji atau tawaran orang tidak dikenali bagi mengelak kejadian sama berulang.
"Polis meminta kerjasama orang ramai menghubungi Balai Polis Sarikei 084-652222 atau 019-9393197 jika ada maklumat berhubung kejadian itu.
Kita tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek masih berada dalam kawasan ini dan gerakan mengesan mereka sudah dilancarkan," katanya.
Sumber : BH Online