Selepas Spiderman, Kini Iron Man pula 'Ikut Jejak' Meniaga
Kota Bharu: Jika dulu orang ramai dikejutkan dengan spiderman menjual nasi lemak, kini penduduk di daerah ini dikejutkan pula dengan kemunculan adiwira Iron Man yang menjual air coconut shake di Jalan Pintu Geng di sini sejak tiga hari lalu.
Disebalik kostum iron man itu adalah Mohd Khairi Abdul Aziz, 34, yang berkata idea itu diinspirasikan daripada Nasi Lemak Spiderman yang menjadi viral sejak dua bulan lalu.
Keunikan itu menyebabkan orang ramai bergambar dengan adiwira itu sekaligus melariskan jualannya sehingga menjadi viral di media sosial.
Kata Khairy, dia menjual coconut shake pada harga RM2 hingga RM3.50 sejak setahun lalu dan kini dia mahu mencipta kelainan dengan menggunakan kostum iron mana kerana mahu menarik orang ramai terutamanya kanak-kanak yang meminati adiwira itu.
“Ilham muncul selepas saya tertarik dengan gelagat Spiderman menjual nasi lemak dan di situ saya fikir apa salahnya kami mencubanya untuk menghiburkan pelanggan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur selepas tiga hari, perniagaan saya semakin laris apabila ramai yang berhenti untuk bergambar sambil membeli coconut shake,” katanya.
Tambah Khairi, kostum itu dibeli dengan harga lebih RM1,000 dari kenalannya dari Thailand dan siap dalam tempoh dua bulan.
“Kostum itu dipakai sepupu, Muhammad Hans Hazid Mohd Hanif, 17, serta rakannya, Mohd Amirul Asif Hairul, 17, secara bergilir.
“Sempena cuti sekolah ini juga, kami menambah lagi beberapa adiwira seperti watar Star Wars, Batman, Kamen Rider serta karakter daripada permainan video, Halo,” katanya.
Sementara itu Muhammad Hans berkata dia tidak menyangka teknik itu kini viral di media sosial.
“Kami seronok kerana dapat meluangkan masa cuti sekolah dengan menghiburkan orang ramai selain membantu perniagaan bapa saudara,” katanya.
“Tugas menjadi adiwira sama sekali tidak mengganggu pembelajaran kerana ia tidak mengambil tempoh masa yang lama berikutan kami memakainya secara bergilir,” katanya sebagaimana lapor Harian Metro. - Siakapkeli.my