Pasir Mas – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun maut setelah dilanggar Toyota Hilux di Kampung Berangan dalam kejadian kira-kira 2.30 petang semalam.
Murid tahun empat dari Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang itu, Ahmad Mukhriz Mat Zain, dipercayai cuba melintas jalan sebelum dilanggar.
Ibu kepada mangsa, Che Nab Daud, 43, berkata anak bongsunya itu sempat menhantar jemput-jemput yang diberi oleh ibu sepupunya ke rumah dengan harapan ia dapat menjadi sajian sekeluarga.
Namun, selepas meletakkan kuih di rumah, anak kelimanya itu kembali bermain di luar dan melintas jalan seorang diri kerana mahu bermain bersama sepupunya.
“Saya dimaklumkan, arwah dilanggar oleh kereta dari arah Pasir Mas ke Rantau Panjang dan terpelanting lebih kurang 40 meter ke dalam parit berdekatan tempat kejadian,” katanya sebagaimana lapor Sinar Online.
Selain itu, Che Nab juga berkata dia anak bongsunya bersama empat lagi kakak serta abangnya di rumah sebelum dia bertolak ke Kampung Lati bagi membantu majlis kenduri di sana.
Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata berdasarkan maklumat awal, mangsa yang mengalami kecederaan dalaman meninggal dunia di tempat kejadian.
Saksi yang melihat kejadian diminta tampil untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Pasir Mas untuk membantu siasatan. - Siakapkeli.my