Pembentangan Laporan Akhir Audit 1MDB Ditangguh - Pengerusi PAC
KUALA LUMPUR, 23 Feb: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini membuat pengumuman penangguhan pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara terhadap syarikat 1MDB yang dijadualkan pada 24 dan 25 Februari ini.
Menurut Pengerusi PAC, Datuk Hassan Ariffin, perkara ini disebabkan kebanyakan ahli PAC berada di luar negara termasuk yang mengerjakan ibadah Umrah.
"Pembentangan Laporan Akhir Pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB yang dijadualkan pada 24 Februari (Rabu) dan 25 Februari (Khamis) ini ditangguhkan," katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah beliau, tarikh baru bagi pembentangan laporan tersebut dijangka pada minggu pertama bulan Mac.
"Penangguhan dibuat memandangkan kebanyakan ahli PAC berada di luar negara, ada yang menunaikan umrah serta ada yang mempunyai komitmen penting.
"Adalah penting untuk semua ahli PAC hadir bagi mendengar pembentangan laporan akhir pengauditan Ketua Audit Negara Terhadap 1MDB berkenaan," katanya lagi.
Penangguhan ini merupakan penagguhan kedua untuk pembentangan laporan tersebut yang pada mulanya dijadulakan pada 17 Disember lalu.
Penangguhan itu dibuat kerana laporan akhir tersebut perlu proses kemas kini. - Siakapkeli.my