Suami Berang Isteri Keluar Rumah Tak Pakai Tudung
REMBAU, 25 Feb – Seorang suami bertindak menumbuk isterinya kerana wanita berkenaan keluar rumah tanpa memakai tudung dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Chembong di sini pada 19 Februari lalu.
Akibat kejadian yang berlaku kira-kira 7 malam itu, mangsa yang berusia 20-an nekad membuat laporan di Balai Polis Chembong kelmarin susulan bukan sahajd ditumbuk, malahan dipukul di bahagian kaki dengan batang besi katil.
Sumber Sinar Online melaporkan, semasa kejadian, pasangan terbabit bertengkar disebabkan sikap si isteri yang keluar dari rumah tanpa memakai tudung.
“Ketika kejadian tiada ahli keluarga lain berada di rumah dan si isteri mendakwa kejadian berkenaan bukanlah kali pertama kerana suaminya kerap memukulnya sebelum ini. Bimbang dengan keselamatan diri, si isteri akhirnya nekad membuat laporan polis beberapa hari selepas kejadian.
“Mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian yang ditumbuk dan dipukul suami mangsa,” katanya sebagaimana lapor Sinar Online.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian tersebut.
Menurut beliau, suspek, seorang pekerja kilang yang berusia 20-an ditahan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 26 Februari ini. - Siakapkeli.my