Jawatan Muhyiddin Sebagai Timbalan Presiden UMNO Digantung Serta Merta
KUALA LUMPUR: Jawatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin digantung serta merta sehingga pemilihan parti akan datang.
Keputusan itu dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan yang berkata ia diambil selepas ahli Majlis Tertinggi (MT) berbincang selama lebih dua jam untuk usul tersebut.
"MT mengambil maklum UMNO menyokong prinsip bersuara tetapi perlulah mengikut saluran yang betul. Dalam kes Muhyiddin ini, apa yang dilakukannya adalah sangat serius dan MT mengambil keputusan menggantung jawatannya serta-merta.
"Keputusan itu diambil selepas mengambil kira suasana politik semasa. Muhyiddin seharusnya membantu dalam usaha mengukuhkan parti.
"Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO," katanya sebagaimana lapor Astro Awani.
Selain itu, Tengku Adnan turut berkata Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal sudah dimaklumkan untuk hadir ke mesyuarat tersebut namun gagal menghadirkan diri.
"Hanya jawatan Timbalan Presiden yang dipegang Muhyiddin digantung dan jawatan lain yang ada kekal seperti biasa," jelasnya. - Siakapkeli.my