Akhirnya, isu yang membelenggu rakyat di Pahang terutamanya penduduk Kuantan telah mendapat perhatian Mufti Perlis, Dr Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di mana hari ini beliau tampil mengkritik agamawan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang lantang menentang rokok elektronik, atau vape, tetapi berdiam diri dalam isu pencemaran bauksit.
“Alangkah baiknya jika isu bauksit ini diberikan perhatian yang lebih daripada isu vape itu. Bahaya isu bauksit ini lebih dari vape.
“Apakah munasabah Islam hanya mengharamkan vape tapi mendiamkan diri dalam isu yang jauh lebih besar dan bahaya?” kata melalui status yang dimuatnaik di laman Facebook miliknya.
Berikut adalah tulisan penuh Dr Maza,
Antara Bauksit dan Vape
Saya telah keluarkan kenyataan saya tentang isu bauksit di Pahang. Apabila saya lihat aktiviti tersebut telah mengancam manusia, alam, tumbuhan dan haiwan, saya rasa sedih dan dukacita.
Bila isu vape timbul, JAKIM telah menjemput semua mufti bersidang khas untuk isu itu. Semuanya dijemput datang dari negeri masing-masing. Maaf, saya tidak hadir tetapi menghantar wakil.
Di media massa,tokoh-tokoh agama juga berbual 'sakan' tentang isu vape yang boleh membahayakan penghisapnya. Kelihatan ustaz-ustaz bersemangat menentang vape. Tidak mengapa. Ma sha Allah.
Cuma, alangkah baiknya, jika isu bauksit ini diberikan perhatian yang lebih daripada isu vape itu. Bahaya isu bauksit ini lebih dari vape.
Apakah munasabah Islam hanya mengharamkan vape, tapi mendiamkan diri dalam isu yang jauh lebih besar dan bahaya?! Apakah pandangan agama hanya untuk rakyat bawahan sahaja, tetapi 'sunyi' segala dalil apabila membabitkan urusan atasan?!
Saya bimbang generasi muslim yang cerdas berfikir dan golongan bukan muslim akan salah faham terhadap Islam disebabkan sikap kita yang sebegini.
Islam itu akan indah jika ia melepasi batasan kepentingan 'orang agama' dan penguasa. Namun ia akan kelihatan tidak indah jika dikendalikan secara tidak seimbang. - Siakapkeli.my