Anggota Polis Melambung Dilanggar Kereta Tokan
MELAKA: Seorang anggota polis dari Unit Ronda Bermotosikal (URB) telah mengalami kecederaan apabila motosikal yang dipandunya telah dirempuh oleh kereta jenis Produa Viva yang dipercayai dinaiki oleh seorang tokan di Taman Bertam Indah, Bertam Ulu, di sini, hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu, anggota polis berkenaan yang berumur 30an dikatakan cuba menghalang kereta tersebut yang dinaiki oleh dua orang lelaki berusia 30-an termasuk seorang daripadanya dipercayai anggota tentera.
Menurut seorang saksi yang berada ditempat kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Halim, 44, berkata, kejadian berlaku di depan matanya yang sedang memandu kereta menghala rumah adik iparnya terletak di taman perumahan tersebut.
“Saya yang datang dari Krubong nak tumpang buang air di rumah adik ipar, masa lalu depan deretan rumah kedai saya nampak dua motosikal ditunggang anggota polis dan sebuah kereta peronda mengejar dan menghalang kereta viva.
“Kereta tu laju terus langgar motosikal polis di depannya menyebabkan anggota melambung dan jatuh atas jalan. Seorang anggota peronda juga cedera di mulut sebab ditumbuk salah seorang suspek yang cuba larikan diri,” katanya dipetik Sinar Harian.
Ketika kejadian, Halim sedang menurunkan isterinya di gerai makan dan ternampak kereta peronda polis itu dilihatnya mengejar kereta Viva terbabit sebelum beliau memandu ke rumah adik iparnya.
“Masa berhenti tepi jalan turunkan isteri, saya dengar bunyi siren kereta polis dan saya ingat polis kejar saya. Tapi lepas tu saya nampak polis ikut kereta viva dinaiki dua lelaki masuk ke taman perumahan adik ipar.
“Sebelum kereta langgar polis URB, saya juga nampak peniaga kuih berhampiran deretan rumah kedai mencampakkan meja kayu ke arah kereta tersebut namun sempat dielak pemandunya," katanya.
Dilaporkan dua bungkusna berisi beberapa paket dadah dipercayai syabu ditemui di dalam kereta berwarna putih tersebut.
Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi memberitahu maklum dengan kejadian tersebut namun kenyataan rasmi akan dibuatnya petang ini. - Siakapkeli.my