45 Minit Dah Jadi Siang, 45 Minit Dah Jadi Malam, Bagaimana Cara Untuk Solat Di Angkasa?
SHAH ALAM - "Setiap 45 minit, sudah jadi siang. Kemudian 45 minit lagi jadi malam. Kita kena solat 80 kali. Bermakna setiap lima minit saya kena bersolat."
Itu persoalan yang ditimbulkan angkasawan pertama negara, Sheikh Muszaphar ketika menceritakan pengalamannya melakukan ibadah solat di angkasa lepas pada sembilan tahun lalu.
Menurut Muszaphar, kitaran bumi yang berputar setiap 90 minit mengelirukan waktu bersolat di angkasa.
Untuk menjelaskan kekeliruan itu, Muszaphar berkata dia berbincang dengan ulama dunia dan Jakim mengenai perkara tersebut.
"Jadi apa yang saya buat? Saya berbincang dengan ulama dunia tentang cara bersolat dan saya rujuk Jakim tentang berapa kali saya perlu bersolat. Keputusannya, saya hanya perlu bersolat sebanyak lima kali sehari mengikut waktu solat di Kazakhstan,"katanya ketika ditemui pada program Temu Mesra Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar bersama Salizhan Sharipov di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
Selain itu, Sheikh Muszaphar juga berkata ketika solat kakinya terpaksa diikat ketika melakukan solat.
"Ketika sujud (semasa solat), kaki saya terpaksa diikat bagi mengelakkan saya terapung," kata angkawasan negara itu sambil menambah ianya hanya prosedur biasa memandangkan keadaan di angkasa lepas yang bebas graviti.
Bercakap mengenai wudhuk pula, Muszaphar berkata dia hanya menggunakan kaedah tayamun ketika melakukan solat.
"Saya hanya tepuk-tepuk dinding di ruang kapal angkasa, kemudian sapu di muka. Saya tepuk lagi dinding pada kapal, kemudian sapu di lengan pula, begitulah cara saya berwuduk," katanya lagi sebagaima lapor Sinar Online. - Siakapkeli.my