"Adik Terkilan Abang Tak Dapat Diselamatkan," Luah Mangsa Tunggal Yang Terselamat Dalam Kejadian Lemas Di Tasik
PETALING JAYA: Mangsa tunggal yang terselamat dalam kejadian lemas di Tasik Ara Damansara, petang semalam menceritakan detik-detik bagaimana melihat empat rakan, termasuk abangnya sendiri lemas dalam kejadian itu.
Mohd Huzain Mohamad Ady, 11 memberitahu kejadian itu berlaku ketika abangnya, Mohd Fikry, 14 cuma mengambil selipar salah seorang daripada mereka yang terjatuh ke dalam tasik.
"Saya bersama kawan-kawan abang bermain di tebing tasik. Kemudian sebelah selipar kawan abang (Norasyikin) terjatuh ke dalam tasik. Abang cuba mengambilnya dengan terjun ke tasik sebelum terkapai-kapai," katanya ketika ditemui di Wad Kecemasan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.
Memetik mStar, Huzain berkata dia dan tiga rakannya yang lain, Hafiz Hakimi, 14, Norasyikin Jamil, 12, dan Raja Iskandar Shah Raja Shukri Amrun, 13 turut terjun ke dalam tasik untuk membantu Fikri selepas melihatnya lemas.
"Kami berpaut antara satu sama lain, namun semuanya tenggelam," katanya sambil menambah dia sempat diselamatkan dua pengawal keselamatan selepas mendengar jeritan mereka meminta tolong.
"Adik sangat terkilan kerana abang tidak dapat diselamatkan," katanya.
Huzain, Fikry dan Norasyikin berkawan baik memandangkan tinggal di blok yang sama di projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.
Kesemua mangsa lemas berjaya dikeluarkan dari tasik itu dari jam 5.30 petang hingga 6.11 petang. -Siakapkeli.my