JOHOR BAHRU, 20 Nov - Berikutan kes bunuh seorang kerani sebuah sekolah agama di Muar pada 16 November lalu, seorang lelaki yang juga jiran mangsa ditahan polis kira-kira jam 6 petang semalam.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asistan Komisioner Kamarul Zaman Mamat, suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan di rumahnya.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan lelaki terbabit di rumahnya yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian yang juga rumah mangsa.
"Lelaki terbabit yang bekerja sebagai penjawat awam dan sudah berkeluarga itu ditahan kerana gagal memberi keterangan yang memuaskan kepada pihak polis ketika siasatan dijalankan,"
"Terima Kasih kepada masyarakat yang telah menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam membanteras kegiatan jenayah kejam Ini," katanya memetik laporan Sinar Online.
Selain itu, Kamarul turut berkata hasil ujian saringan air kencing suspek juga mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.
"Hasil semakan juga turut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kesalahan jenayah kekerasan dan memiliki dadah," katanya.