1MDB: Arul Kanda Sedia Debat Dengan Tony Pua Tanpa Syarat
KUALA LUMPUR: Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda hari ini menarik balik syarat supaya Tony Pua meletak jawatan dan menyatakan kesediaannya untuk mengadakan debat secara terbuka dengan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) itu.
"Saya dengan ini menarik balik syarat saya. Saya akan bertemu dengan Tony Pua dalam program bual bicara atau berdebat dengan beliau secara langsung di televisyen tanpa mengenakan sebarang syarat.
"Saya tidak sabar dengan perbincangan ini supaya kita boleh berdebat mengenai semua persoalan Pua," katanya memetik mStar.
Tony dalam reaksi ringkasnya di laman Twitter menyambut baik pengumuman itu dan mengucapkan terima kasih kepada Arul.
Debat yang akan berlangsung menerusi saluran RTM itu juga akan ditetapkan masa dan tarikh secepat mungkin.
"Satu-satunya orang yang akan mendapat manfaat adalah rakyat Malaysia yang mahu kebenaran didedahkan," kata Pua.
Arul pada Jumaat lalu muncul dalam sesi temubual bersama Bernama TV sehingga menyebabkan Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menyifatkan jawapan Arul sebagai dikitar semula. -Siakapkeli.my