JEDDAH: Satu kejadian ribut pasir luar biasa dilaporkan telah berlaku di sini dan beberapa bahagian negara arab lain kira-kira jam petang waktu tempatan semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira 40 minit itu menyebabkan kota Jeddah bergelap seperti malam di mana angin ribut yang sarat dengan pasir berkenaan membadai bandar berkenaan.
Memetik laporan Arab News, penduduk mendakwa rumah kediaman mereka yang dilanda ribut pasir tersebut bagaikan diketuk dan digoyang oleh sesuatu.
Menurut Abdul Hameed Abal-Ari, seorang pegawai kanan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di Jeddah, memberitahu media tempatan bahawa penerbangan digantung sementara waktu.
"Penerbangan masuk ke Jeddah telah dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran, manakala beberapa jadual penerbangan digantung."
"Tujuh penerbangan telah dialihkan ke Madinah, Yanbu dan Taif. dan kira-kira pukul 07:00 keadaan kembali normal," katanya.
"Semuanya berlaku dalam masa beberapa minit," kata Sadiya Haneef, seorang penduduk daerah Al-Sulaimaniya. "Saya dapat melihat dari balkoni saya angin yang datang seperti bentuk cendawan di kaki langit. Saya fikir ia adalah asap mengepul dari sebuah daerah yang jauh," katanya.
Ribut pasir luar biasa berkenaan juga dikatakan melanda beberapa bahagian negara Arab lain seperti sebahagian besar Lubnan, Syria, Israel dan Cyprus menyebabkan sekurang-kurangnya dua wanita mati di Lubnan dan beratus-ratus yang mengalami masalah pernafasan. - Siakapkeli.my