Koperal Cedera Dibelasah Warga Asing Ketika Jalankan Tugas
Bukit Mertajam: Seorang anggota polis cedera dipukul oleh sekumpulan warga asing ketika menjalankan tugas risikan maklumat di sebuah kilang di Bukit Tengah, Bukit Mertajam semalam.
Anggota polis berkenaan, Koperal Khosim Haq yang bertugas di cawangan foto Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah mengalami kecederaan di muka dan dahi.
Mangsa yang berusia 56 tahun dikatakan sedang menjalankan tugas di sebuah kilang dedak sebelum diserang oleh lebih lima pekerja kilang terbabit yang dipercayai warga Nepal.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, sepucuk pistol jenis Walther turut dirampas oleh kumpulan terbabit.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor, pihaknya menerima panggilan menerusi telefon bimbit dari mangsa dan terus ke lokasi kejadian.
"Beberapa anggota tiba di kilang berkenaan dalam tempoh 10 minit (6.40 petang) dan telah menemui mangsa dalam keadaan terbaring termasuk mengalami kecederaan di muka.
Tambahnya lagi, Koperal Khosim kini sedang menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam. - Siakapekeli.my