Jerebu Makin Teruk, 3 Kawasan Baru Catat Bacaan IPU Lebih 100 Jadikan Jumlah Keseluruhan 12
KUALA LUMPUR: Pihak Jabatan Alam Sekitar hari ini melaporkan terdapat 12 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 setakat 9 pagi ini.
Keadaan ini menunjukkan penambahan 3 kawasan baru berbanding laporan yang dikeluarkan petang semalam iaitu melibatkan 9 kawasan bacaan IPU lebih 100.
Bacaan IPU paling tinggi kini dicatatkan di Alor Star, Kedah dengan bacaan 118 dan Bakar Arang (Sungai Petani) pula bacaan 105 direkodkan.
Selain dua kawasan berkenaan bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (105); Perak merangkumi Kampung Air Putih, Taiping (104), SK Jalan Pegoh, Ipoh (104) dan Seri Manjung (105); Kangar, Perlis (106); dan Seberang Jaya 2, Perai di Pulau Pinang (101).
Situasi sama turut dikesan di Selangor meliputi Banting (102), Pelabuhan Klang (109), Shah Alam (108) dan Batu Muda, Kuala Lumpur (113).
Manakala kawasan lain di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik dan sederhana.
Untuk makluman, bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).
Kerana masalah jerebu ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam memberi nasihat kepada Kementerian Pendidikan agar menghentikan menghentikan sesi persekolahan buat sementara jika bacaan IPU mencecah 200.
“Kami akan memantau keadaan jerebu. Jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200, itu sudah dianggap bahaya maka sekolah mesti ditutup,” katanya
Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. - Siakapkeli.my