Portal Berita "Online" Perlu Didaftarkan Bawah Undang-Undang Siber - Salleh Said Keruak
PUTRAJAYA: Portal berita yang beroperasi dalam talian mungkin perlu didaftarkan di bawah pindaan undang-undang siber yang akan dibentang pada Oktober.
Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru dilantik, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata,
kementeriannya kini sedang mengkaji beberapa model untuk melaksanakan penguatkuasaan tersebut termasuk yang diamalkan di Singapura.
“Saya telah bertemu pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia ( SKMM) untuk mengkaji cadangan ini.
“Kami juga melihat aspek struktur SKMM dan pindaan tersebut untuk menangani isu-isu seperti pornografi, perjudian dalam talian dan ancaman Negara Islam (IS).
“Ini dilakukan demi kepentingan negara,” kata Dr Salleh dipetik dari The Star pada Rabu.
Dengan penguatkuasaan tersebut, ia akan memberi kuasa kepada SKMM uantuk melakukan sekatan terhadap laman web yang boleh dianggap sebagai memberi ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan penguatkuasaan tersebut tidak akan melibatkan sekatan terhadap penggunaan media sosial.
“Kita tidak boleh memantau setiap pengguna media sosial. Jika ada aduan dan terdapat asas untuk itu, kita akan tengok balik,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa cadanagn pindaan undang-undang siber tersebut bukanlah disebabkan oleh isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
“Ia tiada kaitan dengan itu. Kami mahu pindaan menyeluruh. Undang-undang ini telah diperkenalkan pada 1998, dan sejak itu, terdapat banyak perkembangan.
“Kita mesti mengambil kira perkembangan ini. Banyak negara juga meminda undang-undang siber mereka untuk memastikan media sosial tidak membawa masalah, ” menurut Dr Salleh.
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan mengenai perancangan meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Apa yang kami ingin lakukan adalah untuk memperbaiki pindaan dalam mesyuarat Parlimen akan datang bagi mengukuhkan media sosial tetapi pada masa yang sama, dapat mengawal keadaan,” katanya. - Siakapkeli.my