KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau KJ meminta agar serangan, sekatan dan intimidasi terhadap pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dihentikan serta merta.
Menurut beliau tindakan itu akan mengundang lebih banyak perasaan prasangka negatif terhadap kerajaan dan institusi terbabit serta juga menggambarkan ada pihak yang mahu menyembuyikan fakta dalam siasatan kes 1MDB.
"Apa saja intimidasi (tindakan menakutkan pegawai SPRM) yang seolah-olah terancang, mestilah dihentikan serta-merta. Tindakan seperti ini akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan mencetuskan kemarahan rakyat.
"Rakyat akan beranggapan setiap kali SPRM mahu menjalankan tugas, macam-macam berlaku kepada mereka, termasuk pegawainya dipindahkan dan sebagainya.
"Saya harap perkara ini ditangani dengan segera. Malah, saya difahamkan ada seorang pegawai SPRM dipindahkan hanya kerana kesalahan menerima kunjungan wakil rakyat pembangkang ke SPRM," katanya memetik laporan dari Berita Harian Online.
KJ berkata sedemikian mengulas isu dua orang pegawai kanak SPRM yang diarahkan berpindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta-merta.
Tambah Khairy lagi, tindakan itu tidak adil kerana pegawai-pegawai itu hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Saya melihat pemindahan pegawai sungguh pelik dan sangat mengecewakan seolah-olah ada intimidasi terancang terhadap SPRM yang akan melemahkan institusi kerajaan dan pihak berkuasa kita.
"Biarlah SPRM menjalankan tugas tanpa sekatan atau gangguan dari mana-mana pihak. Jangan kerana kita ada agenda tertentu, kita sanggup meruntuhkan institusi ada dalam negara ini.
"Saya tidak sanggup membenarkan keadaan seperti itu berlaku. Institusi seperti SPRM mestilah kita pertahankan untuk menjadi sentiasa bebas dan dapat menjalankan tugas dengan telus," katanya. - Siakapkeli.my