KUALA LUMPUR: Selepas Tony Pua dan Rafizi Ramli dihalang ke luar negara, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula menerima nasib yang sama.
Menulis di laman mikro Twitter, Tian memberitahu beliau dan beberapa aktivis dihalang berbuat demikian oleh Jabatan Imigresen.
"Dengan larangan perjalanan terkini, saya benar-benar terperangkap di Semenanjung Msia, telah dihalang memasuki Sabah & Sarawak, kini tidak boleh ke luar negara, malah Singapura," katanya.
Aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan, Maria Chin Abdullah, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abdul Halim adalah antara mereka yang dihalang meninggalkan negara.
Ambiga berkata beliau sedang dalam perjalanan untuk membuat pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen.
Rabu lalu, larangan berkenaan dikuatkuasakan kepada Pengarah Urusan SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, pemilik The Edge Media Group Datuk Tong Kooi Ong, Ahli Parlimen DAP Tony Pua dan Ahli Parlimen PKR Rafizi Ramli. -Siakapkeli.my